Ahad, 12 Julai 2009

28 pelancong cedera bas langgar treler

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar


JASIN: Dua puluh lapan penumpang sebuah bas ekspres cedera, termasuk tujuh parah apabila bas itu melanggar sebuah treler sarat muatan bertih jagung di Kilometer 179.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Plaza Tol Jasin-Merlimau, dekat sini, pagi semalam.

Bas terbabit dikatakan dalam perjalanan membawa 26 pelancong warga Singapura ke Cameron Highlands ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, manakala treler berkenaan yang dipandu Azainul Mohd Jali, 46, dari Pasir Gudang, Johor ke Ipoh.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata mereka yang parah ialah lima penumpang wanita serta pemandu dan pembantu pemandu bas terbabit yang kini dirawat di Hospital Melaka, manakala penumpang yang cedera ringan diberikan rawatan pesakit luar di hospital sama.

“Siasatan awal mendapati bas itu dipercayai memotong sebuah trailer lain dan sejurus masuk ke laluan kiri berlanggar bahagian belakang treler membawa bertih jagung berkenaan, menyebabkan bahagian depan bas terbabit remuk selain diseret kira-kira 50 meter sebelum berhenti di lorong kecemasan,” katanya.

Katanya, pemandu bas yang tersepit di tempat duduknya parah di bahagian muka, badan dan kedua-dua kaki hancur, manakala pembantunya patah kaki. Polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.

Tiada ulasan: