Isnin, 27 Julai 2009

2 Exco Selangor buat laporan polis

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Dua Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Ronnie Liu hari ini membuat satu laporan polis berhubung tindakan sebuah laman blog yang cuba mengaitkan mereka dengan kegiatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri.

Kedua-duanya membuat laporan itu pada pukul 3.25 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Turut membuat laporan sama ialah pembantu khas kepada Liu, Wong Chuan Chow yang turut dikaitkan dalam blog berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hian Wah ketika ditemui selepas membuat laporan itu memberitahu, ketiga-tiga artikel dalam laman blog http://www.t4tbh.blogspot.com adalah palsu dan rekaan pihak tertentu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelarasan Kilang Haram negeri berkata, ia juga cubaan pihak berkaitan untuk mengelirukan orang ramai.

"Jelas ada sesetengah pihak cuba mengelak daripada bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock, 16 Julai lalu," katanya di sini hari ini.

Menurut Hian Wah, laporan blog itu tidak benar kerana Beng Hock tidak pernah bekerja di bawah Liu dan mendiang juga tidak terlibat dalam hal ehwal peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan menambah, ada pihak tertentu merancang menjatuhkan kerajaan negeri Selangor dan sanggup berbuat apa sahaja termasuk menggunakan jentera kerajaan.

"Laman blog tersebut turut menuduh DAP mencuri wang rakyat Selangor dan menipu komponen parti dalam pakatan pembangkang.

"Ini merupakan satu lagi tuduhan palsu dan zalim serta cuba memecahbelahkan kerjasama antara DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor," ujarnya.

Sementara itu, Liu berkata, pada mulanya beliau tiada rancangan membuat laporan kerana tidak percaya dengan polis tetapi akur selepas mendapat nasihat pimpinan tertinggi DAP.

"Hasrat itu berubah apabila rakan-rakan dalam DAP berpendapat nanti musuh politik akan mengatakan saya tidak berani berdepan dengan polis serta seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu.

"Saya kemudian buat laporan bersama pembantu khas yang memproses permohonan peruntukan DUN Sungai Pelek. Jadi, terpulang pada polis untuk buat apa yang mereka mahu," jelasnya.

Ketiga-tiga mereka selesai membuat laporan itu kira-kira pukul 4.30 petang.

Tiada ulasan: