Khamis, 30 Julai 2009

160,000 majikan dikesan gagal carum perlindungan

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar


ALOR GAJAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan mengadakan gerakan memburu kira-kira 160,000 majikan di seluruh negara yang dikesan gagal membuat potongan caruman bulanan untuk pekerja yang layak menerima perlindungan daripada agensi kerajaan itu, bermula Sabtu ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata gerakan pemeriksaan itu akan diadakan secara besar-besaran membabitkan semua pejabat cawangan agensi berkenaan yang dilaksanakan menerusi konsep dari pintu ke pintu semua pejabat majikan yang disenaraikan.

"Kita sudah memberi tempoh sehingga 1 Ogos ini kepada mereka untuk segera membuat caruman dan kita harap pihak berkenaan akan mematuhinya.

"Selepas itu, kita akan mengambil tindakan menerusi gerakan memburu secara besar-besaran," katanya selepas menghadiri majlis jamuan dan dialog sempena Bengkel Pemahaman Perkeso Bersama Wartawan 2009 di sini, malam kelmarin.

Bengkel yang dihadiri kira-kira 30 wartawan itu antara lain bertujuan membentuk keharmonian dan hubungan baik antara kedua-dua pihak, di samping meningkatkan kemahiran serta pengetahuan membabitkan hak pekerja dan majikan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkeso, K Selvarajah.

Maznah berkata, pada masa ini ada 550,000 majikan berdaftar di seluruh negara dengan hanya 41 peratus atau 389,000 majikan yang aktif mencarum untuk pekerjanya yang berjumlah 5.6 juta.

Katanya, mengikut Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, majikan yang gagal membuat caruman boleh didenda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Gerakan pemeriksaan itu juga membabitkan majikan yang lewat membuat bayaran caruman, walaupun sudah memotong gaji bulanan pekerja," katanya.

Terdahulu, Maznah ketika berucap berkata, seramai 315,172 pekerja yang terbabit dalam pelbagai masalah pada tahun lalu, sudah menerima faedah daripada Perkeso berbanding 290,463 pada tahun sebelumnya.

"Mengikut rekod tahun lalu, Perkeso sudah membayar sebanyak RM1.186 juta kepada mereka yang terbabit dalam kemalangan ketika bekerja, manakala bagi 2007 pula, sebanyak RM1.061 juta sudah dijelaskan," katanya.

Tiada ulasan: