Isnin, 13 Julai 2009

10,000 usahawan baru belia India 2011

BERITA HARIAN ONLINE


MELAKA: Kerajaan menyasar melahirkan kira-kira 10,000 usahawan baru belia India menjelang 2011 menerusi pelbagai program pembangunan keusahawanan dan pendekatan baru dalam usaha mencapai matlamat mewujudkan masyarakat itu yang lebih dinamik dan progresif.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah, berkata kerajaan mahu membangunkan lebih ramai kumpulan usahawan menengah India yang berjaya, berinovasi dan dapat menjana pulangan menguntungkan dalam jangka panjang dan tidak sekadar makan gaji.

Beliau berkata, lebih ramai usahawan baru belia India dilahirkan, maka lebih banyak penyertaan syarikat kaum itu dalam industri untuk menguasai keseluruhan rantaian nilai yang ada dari segi peluang dan potensi pertumbuhan.

"Setakat ini terdapat lebih 3,000 usahawan belia India yang berjaya dalam bidang perniagaan dan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ini diharap dapat membantu mengurangkan masalah sosial di kalangan golongan muda kaum ini sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

"Saya turut dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar bahawa terdapat kira-kira RM6 juta lagi peruntukan bagi tujuan berkenaan yang masih belum digunakan. Jadi, masyarakat India termasuk kaum lain perlu merebut segala peluang melalui skim dan insentif yang disediakan oleh kerajaan ini untuk dinikmati bersama," katanya selepas merasmikan Seminar Perniagaan Kecil, Agro Tani dan Francais di Ayer Keroh, dekat sini, semalam.

Program kali ke-10 anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu bertujuan memberi pendedahan secara terperinci kepada masyarakat India mengenai peluang perniagaan yang disediakan kerajaan sekali gus menangkis tuduhan segelintir pihak yang mengatakan bahawa kerajaan sebelum ini tidak melakukan sesuatu untuk meningkatkan taraf ekonomi kaum berkenaan di negara ini.

Tiada ulasan: