Isnin, 22 Jun 2009

Zuber: Mungkin kerana prestasi saya...

Muda Mohd Noor


Datuk Zuber Embong berkata penggugurannya daripada jawatan ketua penerangan Umno Terengganu mungkin kerana prestasinya yang tidak memuaskan.

"Saya tidak tahu mengapa digugurkan tetapi mungkin kerana prestasi saya tidak memuaskan. Saya juga tidak hadir dalam mesyuarat malam tadi.

"Tetapi saya boleh menerima pengguguran tersebut kerana ia merupakan perkara biasa," katanya ketika diminta mengulas penggugurannya yang diumumkan pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein malam tadi.

Mesyuarat itu dihadiri semua ketua Umno bahagian kecuali Ketua Umno Besut, Datuk Seri Idris Jusoh kerana sedang melanjutkan pelajaran di luar negara.

Zuber menjadi ketua penerangan Umno negeri sejak setahun lalu, menggantikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabbery Cheek yang meletak jawatan.

Turut digugurkan ialah Setiausaha Umno negeri, Datuk Rosli Mat Hassan dan Senator Datuk Roslan Awang Chik dari jawatan bendahari.

Ahmad Shabbery dilantik semula sebagai ketua penerangan manakala Speaker DUN Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilantik sebagai setiausaha dan timbalan Ketua bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Said dilantik sebagai bendahari.

Mengulas lanjut, Zuber berkata, Hishammuddin membuat rombakan itu setelah melihat suasana Umno Terengganu hari ini berbeza daripada sebelumnya.

'Ikut perubahan parti'

"Beliau membuat rombakan ini setelah membuat penelitian yang lama mengenai suasana politik di negeri ini.

"Apabila suasana sudah berubah, sudah tentu formula baru dan perubahan diperlukan dan saya melihat pelantikan baru ini boleh mengubah parti dengan suasana yang ada.

"Soal siapa yang dilantik tidak penting, tetapi perubahan ini adalah ke arah kekuatan parti (Umno)," katanya.

Zuber berkata, walaupun digurkan dari jawatan ketua penerangan, beliau akan tetap memberi sumbangan kepada parti.

Zuber merupakan tokoh veteran Umno negeri yang pernah menjadi ahli parlimen Kuala Terengganu selama sepenggal pada 1986.

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum tahun 1990, beliau tewas kepada calon parti Semangat 46, Datuk Abdul Manan Othman.

Beliau yang merupakan lulusan undang-undang Universiti Malaya, kini tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan komen dari Rosli dan Roslan sehingga petang ini belum berhasil.

Tiada ulasan: