Sabtu, 13 Jun 2009

Zaid Ibrahim sertai PKR, dilantik anggota majlis pusat

Oleh G. MANIMARAN


NILAI: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang dipecat dari Umno akhir tahun lalu telah memutuskan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan sempena Kongres Nasional Khas parti itu di sini hari ini.

"Satu berita yang menggembirakan berkuat kuasa hari ini... satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita... perkembangan sangat positif untuk PKR," kata Anwar.

Zaid juga hadir pada kongres hari ini yang diadakan untuk membincangkan pindaan perlembagaan parti.

Anwar berkata, penyertaan Zaid akan berkuat kuasa sebaik sahaja penerimaan permohonannya ditandatangani oleh Presiden Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Malah Zaid juga akan dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan Biro Politik PKR, kata Anwar.

Anwar menambah, beliau akan memaklumkan penerimaan Zaid pada mesyuarat Pakatan Isnin.

Difahamkan Zaid juga akan diberikan peranan untuk memperkukuhkan Pakatan.

Zaid sebelum ini merupakan ahli Umno dan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bahru dan pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 atas tiket Barisan Nasional.

Beliau dilantik sebagai anggota Kabinet atas kapasiti sebagai senator oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Bagaimanapun pada 15 September tahun lalu, Zaid bertindak meletakkan jawatannya dalam Kabinet selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wartawan di bawah ISA sebelum itu.

Beliau selepas itu mencetuskan kontroversi dalam Umno selepas dilihat secara terbuka menghadiri majlis parti pembangkang dan akhirnya dipecat daripada Umno pada 2 Disember kerana membuat tindakan yang bertentangan dengan etika parti.

Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dan percaya "dengan perjuangan parti berbilang kaum."

"Saya percaya kalau beri peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan kepimpinan lain yang berminat dan berhasrat kukuhkan Pakatan Rakyat," katanya.

Tiada ulasan: