Khamis, 4 Jun 2009

Wanita maut dirempuh kereta peronda

BERITA HARIAN ONLINE


BATU PAHAT: Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah kereta peronda polis di Kilometer 6, Jalan Kluang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, kereta peronda polis yang dipandu seorang anggota dikatakan gagal mengelak mangsa, Ong Sing Hua, 49, yang ketika itu berada di tengah jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Azman Abd'lah, mengesahkan wanita terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Siasatan awal mendapati wanita terbabit tiba-tiba menyeberang jalan sebaik saja sebuah bas melintas di hadapan.

"Pandangan pemandu kereta peronda terhalang oleh bas itu sehingga menyebabkan dia gagal mengelak ketika mangsa berada di tengah jalan," katanya ketika melawat jenazah mangsa di sebuah pusat pengurusan mayat di sini, semalam.

Azman berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan anggota berusia 28 tahun itu tidak dibenarkan melakukan rondaan.

Sementara itu, suami mangsa, Soon Kai Ting, 53, berkata beliau terkejut sebaik dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa isterinya.

"Isteri saya yang bekerja di kilang membuat pakaian sejuk sepatutnya balik rumah jam 4 petang, tetapi semalam (kelmarin) dia membuat kerja lebih masa.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh seorang rakan, isteri saya mengalami kemalangan, betul-betul di depan kilang tempatnya bekerja," katanya.

Soon berkata, beliau sudah membuat laporan polis dan meminta siasatan terperinci dijalankan untuk memastikan punca sebenar kejadian itu.

Mendiang yang bekerja di kilang berkenaan sejak kira-kira dua tahun lalu meninggalkan tiga anak berusia antara 16 hingga 27 tahun.

Tiada ulasan: