Ahad, 14 Jun 2009

Enam lagi terbunuh di Selatan Thai

UTUSAN ONLINE


NARATHIWAT – Selatan Thailand terus tegang apabila kumpulan pemisah disyaki membunuh enam orang dalam serangan berasingan ketika pasukan pegawai tinggi kerajaan diterbangkan ke sini.

Polis menemui mayat seorang lelaki berusia 36 tahun dan seorang wanita di tepi sebatang jalan raya di Yala pada pukul 12.40 petang (pukul 1.40 petang waktu Malaysia).

Sementara itu di Narathiwat, seorang wanita berusia 31 tahun mati ditembak dan seorang lagi cedera dalam serangan bersenjata oleh militan yang kemudiannya melontarkan sebutir bom ke arah sekumpulan pelajar menyebabkan enam orang cedera.

Dalam satu lagi serangan, pihak polis menjelaskan, seorang wanita berusia 56 tahun maut sementara 13 yang lain cedera apabila seorang lelaki yang membonceng motosikal melontar bom tangan ke dalam bas mini di wilayah Yala pada pukul 1 tengah hari ini.

Kesemua yang cedera telah dibawa ke hospital berdekatan.

Sebelum tengah malam tadi (pukul 1 pagi waktu Malaysia), wanita berusia 42 tahun yang merupakan isteri kepada seorang ketua kampung, ditembak mati dalam satu serang hendap di Narathiwat ketika dia menunggang motosikal bersama anak gadisnya yang berusia 22 tahun.

Remaja perempuan itu selamat namun mengalami luka akibat ditembak.

Tiga jam sebelum itu di Yala, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun juga maut ditembak di rumahnya.

Tiada ulasan: