Jumaat, 26 Jun 2009

Ketua jabatan jangan rasa terancam

UTUSAN ONLINE


IPOH - Semua ketua jabatan kerajaan tidak perlu berasa terancam mendengar kritikan, pandangan dan pendapat daripada pegawai baru atau kakitangan bawahan dalam menjalankan tugas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala pandangan itu perlu diterima dengan hati terbuka kerana ia dapat memajukan jabatan dan mempertingkatkan perkhidmatan masing-masing.

Tegasnya, pegawai kerajaan di semua peringkat harus mempunyai hubungan rapat dalam memudahkan anggota sesebuah jabatan bertukar pandangan sesama sendiri.

''Saya percaya golongan bawahan atau penjawat awam yang baru tidak akan rasa terbatas untuk melontarkan pandangan dan pendapat jika wujud hubungan baik dan rapat dalam sesebuah jabatan.

''Bagi saya, pandangan mereka akan memajukan lagi pentadbiran kerajaan kerana mereka juga berkelayakan. Walaupun pengalaman kerja masih baru tetapi tidak patut menghalang mereka mengeluarkan pandangan," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sesi dialog semasa Majlis Perjumpaan Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta Warga Pendidik Perak di sini, hari ini.

Tiada ulasan: