Khamis, 11 Jun 2009

USM cipta kaedah rawat gigi mati

Oleh Akmal Ilham


KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah apabila menghasilkan kaedah baru rawatan gigi mati yang membolehkan ia terus berfungsi seumur hidup dan mengurangkan bilangan gigi yang perlu dicabut.

Lebih membanggakan, kejayaan menghasilkan kaedah rawatan menggunakan bahan 'nanoseal plus' iaitu yang pertama seumpamanya di dunia itu dilaksanakan sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian dengan hanya berbekalkan geran jangka pendek berjumlah RM20,000.

Dekan PPSG USM, Prof Madya Dr Abdul Rashid Ismail, berkata 'nanoseal plus' adalah bahan perekat pergigian yang menggunakan zarah nano dengan teknologi terkini di samping perekat pertama menggunakan bahan yang mempunyai bentuk sama dengan struktur gigi.

Beliau berkata, penghasilan kaedah berkenaan membolehkan gigi mati dapat kekal berfungsi dalam mulut seumur hidup sekali gus mengurangkan bilangan gigi yang perlu dicabut.

“Kelebihan zarah nano ialah meningkatkan kesan pengapan kerana kemampuannya memasuki kanal kecil. Struktur bahan yang sama dengan gigi pula meningkatkan bioserasi dan daya lekat antara bahan dan gigi," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dr Abdul Rashid berkata, beliau bersama pasukan penyelidik diketuai Dr Sam'an Malik Masudi bersama Prof Ismail Abdul Rahman, Nor Shamsuria Omar dan Syafawati Zain membuat kajian sejak tiga tahun lalu bagi mengurangkan risiko kegagalan dalam rawatan kanal akar, iaitu rawatan ke atas gigi yang mati.

Beliau berkata, prosedur rawatan memerlukan kanal gigi mati dicuci dan selepas itu, ditampal bagi memastikan tiada bakteria masuk kanal yang boleh menyebabkan jangkitan tisu di hujung akar gigi sebelum gigi ditampal bagi mengekalkan fungsinya.

“Bagaimanapun, rawatan sebelum ini terdedah kepada kegagalan kerana ada kanal kecil yang tidak dapat ditampal dengan sempurna menyebabkan bakteria menyusup masuk dan kami berpendapat bahan perekat penampal adalah faktor utama ke atas kejayaan rawatan ini.

“Ekoran itu, kami mencipta 'nanoseal plus' yang juga bahan perekat pergigian pertama di dunia menggunakan zarah nano dengan teknologi terkini,” katanya.

Sementara itu, Dr Sam'an berkata, pihaknya yakin produk itu dapat dipasarkan ke seluruh dunia kerana kos menghasilkannya yang murah iaitu RM50 berbanding bahan lain yang menelan kos sekitar RM300.

Beliau berkata, kajian pada awalnya dilakukan terhadap haiwan sebelum memperluaskannya kepada pesakit sebenar, awal tahun ini.

“Produk ini belum ada di dunia kerana kami menggunakan hidroksid apetid yang sama dengan struktur gigi tetapi dibuat secara sintetik sebelum diproses menjadi hidroksid nano. Kajian makmal menunjukkan ia sangat berkesan mengurangkan kebocoran mikroskopik.

“Produk ini memenangi anugerah emas pertandingan reka cipta dan pameran teknologi antarabangsa kali ke-20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bulan lalu. Ia juga dalam proses untuk dipaten sebelum dikomersialkan.

“Kami menjangkakan ia akan mendapat pasaran baik di seluruh dunia, malah ketika ini banyak syarikat tempatan dan luar negara termasuk Jepun dan Jerman menyatakan minat menghasilkannya, tetapi kami perlu menunggu ia dipatenkan dulu,” katanya.

Tiada ulasan: