Selasa, 16 Jun 2009

USM cipta alat elak barah otak

Sol Gel Auto Combustion kurangkan risiko kena gelombang telefon bimbit

Oleh Fazli Abdullah


NIBONG TEBAL: Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta kaedah baru menghasilkan produk yang boleh mengurangkan risiko pengguna peralatan elektrik dan elektronik seperti telefon bimbit terkena gelombang elektromagnet yang biasanya dikaitkan dengan barah otak.

Mereka mencipta kaedah yang dinamakan 'Sol Gel Auto Combustion' bagi menghasilkan ferit magnesium yang berfungsi menyerap gelombang itu daripada terkena pengguna.

Ini kali pertama kaedah menghasilkan ferit magnesium dicipta di Malaysia walaupun produk itu sudah tidak asing lagi kerana penggunaannya amat meluas di dalam peralatan elektrik dan elektronik.

Malah, produk dihasilkan penyelidik USM, diketuai Prof Ahmad Fauzi Mohd Noor, dikatakan lebih berkualiti dan cepat walaupun kos pengeluarannya rendah.

Kajian menghasilkan kaedah itu yang mengambil masa tiga tahun dengan kerjasama pakar dari Institut Teknologi Tokyo, Jepun dan Universiti Teknologi Yangon, Myanmar.

Bercakap pada sidang media di Kampus Kejuruteraan USM di sini, selepas menyampaikan syarahan umum pelantikannya sebagai profesor, Ahmad Fauzi berkata, kaedah yang dicipta itu membolehkan ferit magnesium dihasilkan dalam tempoh seminit pada suhu 200 darjah Celsius.

Ketika ini, ferit magnesium yang banyak dihasilkan di Amerika Syarikat dan Jepun menggunakan kaedah konvensional dalam tempoh 12 jam hingga 24 jam pada suhu 1,200 Celsius.

"Dengan kaedah ini, kami berjaya hasilkan produk yang sama dengan mempunyai struktur nano dan mempunyai sifat elektromagnet pada kos yang rendah dan cepat.

"Kami berjaya menghasilkan produk lebih berkualiti pada kos yang rendah," katanya sambil menambah ciptaan itu menang pingat emas pada Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi 2009 (Itex 2009), baru-baru ini.

Ahmad Fauzi berkata, kaedah itu berpotensi dikomersialkan di negara ini kerana belum ada syarikat yang mengeluarkan ferit magnesium di negara ini walaupun banyak digunakan di peralatan elektrik dan elektronik.

Sehubungan itu, beliau sedia bekerjasama untuk mengkomersialkan kaedah berkenaan bagi mengeluarkan produk berkenaan.

"Ketika ini, sebuah syarikat di Perak menunjukkan minat untuk mengeluarkan produk itu dengan menggunakan kaedah berkenaan," katanya.

Tiada ulasan: