Jumaat, 19 Jun 2009

Usaha pulih Umno diteruskan tidak kira hasil kerajaan perpaduan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK dan KEITH JONATHAN DEUNTZER


KUALA LUMPUR: Isu kerajaan perpaduan yang disyorkan PAS tidak akan menghilangkan fokus Umno untuk melakukan perubahan untuk kepentingan rakyat.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Umno akan meneruskan usaha bagi meningkatkan imej parti itu tidak kira sama ada isu kerajaan perpaduan tersebut berjaya ataupun tidak.

"Kalau sekiranya ada syarat-syarat dan ia tidak dapat dijalankan, ini tidak bermakna bahawa kerja kita tidak boleh diteruskan.

"Kita dalam Umno, sama ada jadi ataupun tidak perbincangan perpaduan ini... yang bagus kita alukan tapi kerja kita mesti teruskan,'' katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hishammuddin menjelaskan rakyat sebenarnya sudah bosan dengan isu politik yang seolah-olah tiada kesudahan.

"Rakyat sudah bosan dan marah dengan isu politik harian, mereka ingin melihat kita ke depan... sebab itu dalam Umno kita sudahpun mula, apa yang kita sebut sebelum ini bukan retorik, ianya dahpun bergerak.

"Di peringakat kerajaan, visi serta konsep Perdana Menteri telah pun diketengahkan... kita sedang memikirkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memastikan visinya menjadi kenyataan, bukan sahaja dari segi hasil tapi juga kesan," ujar beliau.

Dalam pada itu mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang meminta Nasharudin Mat Isa meletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS dan Ahli Parlimen Bachok, Hishammuddin berkata, beliau tidak mahu hubungan antara kedua-dua pemimpin itu retak.

"Saya tak mahu mereka bergaduh, sama macam saya tak mahu Umno berpecah... saya akan berdoa untuk mereka," katanya.

Tiada ulasan: