Rabu, 3 Jun 2009

Upin, Ipin duta Read Malaysia

MYMETRO


SERDANG: Dua karakter kartun animasi terkenal, Upin dan Ipin dilantik sebagai duta pameran buku terbesar Read Malaysia, yang akan berlangsung pada 29 Mei hingga 7 Jun di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), Mines Resort City.

Pameran anjuran Mines Exhibition Management Sdn Bhd itu membabitkan penyertaan 500 gerai daripada pengedar dan penerbit buku ternama.

Upin dan Ipin akan membuat kemunculan di tapak pameran pada 30 Mei dan 3 Jun ini.

Pengarah Urusan Les’Copaque, Burhanuddin Md Radzi, berkata pihaknya bersetuju bekerjasama dengan penganjur pameran buku itu terutama bagi menarik golongan kanak-kanak mendekati dan mencintai buku serta menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti harian mereka.

“Karakter kedua-dua kartun dalam siri animasi Upin dan Ipin memang popular dan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

“Selain itu, perlantikan Upin dan Ipin sebagai duta akan memeriahkan pameran buku ini selain dapat menarik seisi keluarga meluangkan masa ke pameran terbesar ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Acara MIECC, Lee Teck Chee.

Sementara itu, pameran buku berkenaan akan dibahagikan kepada enam bahagian iaitu buku am, ruang kanak-kanak, pavillion pendidikan, pavillion alat tulis serta bahagian elektronik dan multimedia.

Tiada ulasan: