Khamis, 11 Jun 2009

Umno Johor sokong wajib lulus Inggeris dalam SPM

BERNAMA


MUAR: Badan Perhubungan Umno Johor hari ini menyokong cadangan Kementerian Pelajaran yang mahu menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Abdul Ghani Othman berkata bagaimanapun, sukatan pelajaran mata pelajaran itu perlu disusun semula terlebih dahulu manakala guru Bahasa Inggeris perlu dilengkapi kemahiran secukupnya.

"Dengan sukatan mata pelajaran yang tersusun kepada murid-murid selama 11 tahun sebelum menduduki peperiksaan SPM, saya yakin murid-murid dari kampung boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

"Sebaliknya, jika pembelajaran yang ada sekarang tidak disusun semula, saya tidak menolak kemungkinan pelajar dari kampung tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris," kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Parlimen Muar di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata selama ini, pengajaran Bahasa Inggeris kepada muridmurid lebih berbentuk bahasa perhubungan dan kurang menekankan soal tata bahasa dan perbendaharaan kata.

"Jadi, tidak hairanlah jika murid-murid kita termasuk di luar bandar tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik," katanya.

Mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, Abdul Ghani berkata Badan Perhubungan Umno Johor berpendirian bahawa pengajaran mata pelajaran tersebut lebih berkesan jika menggunakan bahasa ibunda.

Katanya pakar-pakar dunia mengakui pengajaran mata pelajaran itu lebih berkesan jika menggunakan bahasa ibunda.

Tiada ulasan: