Ahad, 21 Jun 2009

ULAMA SAUDI TOLAK KERAS LARANG TUNAI HAJI SEBAB H1N1

AP, AFP.


RIYADH: Seorang ulama Arab Saudi kelmarin menolak keras larangan perjalanan ke atas jemaah haji disebabkan kebimbangan mengenai wabak H1N1.

Sheikh Abdul-Mohsen al-Obaikan, seorang penasihat kepada keluarga diraja Saudi dan anggota Majlis Syura ditukil akhbar Okaz sebagai berkata:

'Islam tidak menyokong larangan perjalanan. Adalah tidak wajar melarang orang daripada menunaikan ibadah haji,' tegas Encik Al-Obaikan.

Menurut beliau, perjalanan ke atau dari negara yang ada kes H1N1 juga tidak patut disekat.

Beliau berkata begitu sebagai reaksi kepada kenyataan Menteri Kesihatan Mesir, Encik Hatem al- Gabali, yang memberi amaran kepada rakyat Mesir bahawa mereka mungkin dikuarantin sebaik pulang daripada menunaikan ibadah haji.

Encik El-Gabali berkata, beliau akan mengenakan langkah lain bagi memastikan jemaah tidak menularkan penyakit kepada orang lain di Mesir, yang mempunyai 80 juta penduduk.

Menurutnya, ramainya jemaah yang menunaikan haji mencetus kemungkinan flu H1N1 boleh merebak lebih meluas.

Namun Mufti Besar Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh, berkata kebimbangan menularnya flu H1N1 di kalangan jemaah terlalu dibesar-besarkan.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi sudah membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlaku wabak H1N1 selepas tiga orang dewasa dan empat kanak-kanak disahkan menghidap virus itu.

Ini menjadikan kesemuanya 29 kes H1N1 yang di sahkan di seluruh negara itu sejak 3 Jun lalu tetapi tiada sebarang kematian, lapor laman berita Arab News.

Yang terbaru, tiga kanak-kanak warga Saudi di Madinah dikesan menghidap virus H1N1 dipercayai dijangkiti seorang pelajar yang baru pulang dari Australia minggu ini.

Di Makkah, seorang budak lelaki warga Malaysia didapati dijangkiti H1N1 di sebuah hotel dekat Masjidil Haram Rabu lalu.

Sebelum kes itu, sebuah keluarga warga Mauritania yang melawat Madinah dari Canada juga dikesan menghidapi H1N1.

Kes tersebut menunjukkan betapa seriusnya ancaman penularan H1N1 apabila lebih dua juta jemaah tiba untuk tunaikan umrah Ramadan Ogos nanti dan lebih ramai lagi semasa menunaikan ibadah haji November, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Encik Khaled Marghlani.

Kerajaan Saudi sudah berbincang dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi melakar pelan menghadapi ancaman tersebut, kata beliau kepada AFP, Rabu lalu.

'Seluruh dunia risau mengenainya. Kami akan berusaha keras kerana mereka yang datang ke sini adalah tetamu Allah,' tegas Encik Marghlani.

Menurut Encik Marghlani, kerajaan sudah menyusun pelan rapi bagi mencegah dan merawat penyakit di kalangan jemaah.

'Haji dan umrah mempunyai sistem pemantauan yang canggih,' kata beliau.

Bagi flu H1N1, kementerian akan menyiapkan pelan bertindak bersama WHO bulan ini. Kamera pengimbas haba sudahpun dipasang di lapangan terbang di negara itu, kata beliau.

Kementerian juga meningkatkan simpanan ubat antivirus Tamiflu bersamaan dengan 10 peratus daripada penduduk Saudi yang berjumlah 25.3 juta orang, kata beliau.

Tiada ulasan: