Jumaat, 5 Jun 2009

Ulama PAS tidak seperti ulama Umno - Harun Taib

Zain Hashim


SHAH ALAM - "Ulama berjaya memimpin parti dengan segala pendekatan tarbiyah yang mampu melahirkan individu yang bertakwa kepada Allah SWT...tidak seperti ulama Umno yang mengikut telunjuk pemimpin mereka."

Demikian antara ungkapan yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) yang baru, Dato' Harun Taib di akhir Muktamar DUPP semalam.

Sebelum itu, beliau tidak menyangka bahawa akan dipilih sekali lagi bagi menerajui dewan berkenaan setelah membuat keputusan pada 2007 untuk tidak mempertahan jawatan bagi memberi laluan kepada orang lain.

Beliau berkata demikian sebagai ucapan sulung setelah menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut di Muktamar Tahunan dewan berkenaan kali ke-48 yang berlangsung di Auditorium Muzium Shah Alam semalam.

Kenyataan beliau telah menggamit para perwakilan apabila menyatakan bahawa dewan berkenaan bermuktamar kali ini di muzium, seolah-olah ulama mahu dimuziumkan, walau bagaimanapun tegasnya, muzium adalah tempat menyimpan bahan-bahan bersejarah dan bernilai tinggi yang sering dikunjungi oleh orang ramai, maka ulama pun sering dikunjungi bagi mendapatkan buah fikiran dan pandangan berharga mereka.

Beliau membuka cerita mengenai penglibatan pertamanya selaku Ketua DUPP, ia bermula pada 1997, apabila AJK dewan berkenaan menerima hasrat ketuanya pada ketika itu, iaitu Dato' Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berundur bagi menumpukan tugas sepenuh masa sebagai Menteri Besar Kelantan, hasratnya diterima dan ketika beliau (Harun) kebetulan lalu di hadapan pejabat DUPP, beliau dicekup oleh seorang AJK dewan itu untuk masuk ke dalam bilik mesyuarat dan terus dicadangkan untuk menerima jawatan tersebut.

"Selepas 1982, ulama berjaya memimpin parti dengan segala pendekatan tarbiyah yang mampu melahirkan individu yang bertakwa kepada Allah SWT, sehingga pengaruh PAS masuk ke dalam Institut Pengajian Tinggi dalam dan luar negara hingga melahirkan golongan ulama yang mampu memberi tunjuk ajar dan nasihat, perkara ini tidak berlaku dalam Umno di mana ulama-ulamanya hanya mengikut telunjuk pemimpin mereka,"ujar beliau dengan penuh bersemangat.

Dalam ucapannya juga beliau berterima kasih kepada semua perwakilan termasuk ulama daripada kalangan muslimat yang telah memainkan peranan penting bagi memajukan PAS di persada politik tanah air, di mana ulama dari kalangan muslimat yang terpilih juga merupakan individu yang berkebolehan dari sudut ilmu pengetahuan yang tidak ada tempat bagi menyalurkan pandangan mereka, justeru mereka diambil untuk menganggotai DUPP agar dapat menyampaikan pandangan ulama kepada muslimat.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan berjanji untuk melihat secara mendalam segala pandangan yang diutarakan oleh para perwakilan dalam muktamar kali ini. - mks._

Tiada ulasan: