Selasa, 2 Jun 2009

Tindakan tegas terhadap pemilik tapak simpan tayar terpakai

UTUSAN ONLINE


KUCHING - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik tapak yang menempatkan tayar terpakai di sebuah kawasan seluas padang bola sepak di Jalan Muara Tuang di sini yang terbakar semalam.

Menteri Muda Alam Sekitar, Dr. Abang Rauf Abang Zen bagaimanapun berkata, satu perbincangan akan dilakukan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat bagi memutuskan bentuk tindakan yang boleh diambil.

Menurutnya, pihak berkenaan dengan jelas telah melanggar undang-undang yang ditetapkan PBT dan Jabatan Tanah dan Survei serta telah mengakibatkan pencemaran alam sekitar yang boleh dikenakan kompaun RM30,000 dan penjara dua tahun.

''Kita akan menyegerakan proses perbincangan dengan PBT terlebih dahulu bagi menentukan hukuman yang boleh diambil kerana mereka telah diarahkan untuk menyelesaikan perkara ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan mengenai kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah tapak penyimpanan tayar terpakai di Jalan Muara Tuang di sini.

Tinjauan ke kawasan berkenaan hari ini mendapati, hampir dua pertiga kawasan menyimpan tayar terpakai seluas padang bola sepak itu musnah dijilat api.

Abang Rauf berkata, PBT berkaitan pernah mengeluarkan satu notis amaran pemindahan kepada pemilik tapak namun gagal dipatuhi kerana mereka memberi alasan masih menunggu kelulusan tapak baru untuk tayar berkenaan.

Katanya, kementeriannya kecewa dengan tindakan pihak berkenaan untuk mengumpul tayar tanpa mempunyai sebuah tapak yang telah diluluskan terlebih dahulu meskipun tujuan mereka untuk mengitar semula tayar-tayar berkenaan adalah baik.

''Buat masa ini, kita masih tidak mempunyai undang-undang yang membenarkan syarikat atau individu untuk menyimpan tayar kerana bahan itu perlu dimusnahkan.

''Sehubungan itu, kita akan lebih bertegas kepada syarikat-syarikat yang ingin menjalankan perniagaan seperti itu kerana sebarang kecuaian boleh mengancam kesihatan orang ramai,'' tegas beliau.

Beliau menambah, kementeriannya masih menunggu laporan polis sekiranya terbukti wujud unsur khianat yang membawa kepada kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Kam Leman berkata, kebakaran yang bermula petang semalam berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 10.54 pagi ini.

Katanya, usaha memadam turut mendapat bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat dari Tabuan Jaya dan Siburan dengan kekuatan anggota seramai kira-kira 40 orang.

''Faktor getah yang nipis dan diletakkan secara berhampiran menyebabkan kebakaran itu sukar dikawal sehingga lebih separuh daripada kawasan penyimpanan tayar itu musnah,'' tambahnya

Tiada ulasan: