Selasa, 23 Jun 2009

Tidak halang rakyat ke luar negara

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Kerajaan negeri tidak bercadang untuk menghalang rakyat negeri ini mengadakan lawatan ke luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan negeri juga tidak berhak berbuat demikian kerana itu hak rakyat.

“Apa yang penting kita tahu dan sedar dengan situasi sebenar yang sedang melanda dengan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau juga menasihatkan supaya rakyat di negeri ini mengikuti taklimat yang akan diberikan jabatan kesihatan.

“Jika ada mana-mana pelajar yang didapati mempunyai tanda seperti demam, batuk, selesema dan sebagainya, mereka dinasihatkan terus dibawa ke hospital dengan segera untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tiga pelajar di negeri ini yang telah pun disahkan dijangkiti wabak penyakit itu.

Mangsa terbaru adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama yang berumur 14 dan merupakan abang kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Assunta (2) di Petaling Jaya yang juga disahkan dijangkiti H1N1 sebelum ini.

Seorang lagi mangsa ialah pelajar Tingkatan Empat SMK Seksyen 9, Shah Alam.

Xavier berkata, ketiga-tiga pelajar itu kini di kuarantin di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah manakala rakan dari sekolah mereka dinasihatkan di kuarantin di rumah dalam masa tujuh hari.

Pihaknya juga mengarahkan rakan mangsa yang menaiki bas sekolah dan berkongsi kenderaan supaya di kuarantin di rumah masing-masing.

Tiada ulasan: