Isnin, 15 Jun 2009

Tee Kiat cuba tutup kesalahan

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Penubuhan satu pasukan petugas dan dua jawatankuasa secara rawak oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk bertindak ke atas laporan audit Pricewaterhouse Coopers (PwC) mengenai skandal kewangan terbesar amat membimbangkan.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mendakwa tindakan itu menunjukkan Menteri Pengangkutan, Ong Tee Kiat merancang untuk menutup kesalahan yang berlaku sejak tahun 2000 membabitkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menurutnya, Tee Kiat perlu menerima hakikat berlakunya penyelewengan kuasa dan banyak kecuaian oleh badan kerajaan dan lembaga pelabuhan Klang adalah punca tunggal serta terpenting bagi skandal ini.

“Selain itu, terdapat pakatan antara pengawas regulators kerajaan serta individu dalam LPK dan PKFZ. Pengawas mungkin telah ambil rasuah, dipaksa atau tutup satu mata kerana takut ditindas.

“Manakala wakil daripada Kementerian Pengang-kutan, Kewangan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan kerajaan negeri adalah ahli LPK. Mereka berada dalam lembaga untuk menjaga kepentingan awam dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor menuntut penjelasan terhadap skandal yang dibangkitkan itu.

“Sejak laporan polis pertama pada lima tahun lalu dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu zon bebas, pihak berkuasa memang tahu kekurangan, kecacatan dan penyelewengan.

“Mengapa jawatankuasa dan pasukan petugas ini ditubuhkan apabila semua punca dan pesalah telah ditentukan? Apakah tindakan yang akan diambil terhadap orang yang dikenali dan terlibat dalam skandal ini?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa LPK tidak menghadapi tuduhan kesalahan dan penyelewengan kuasa semasa ia membangunkan pelabuhan utara dari 1963 ke 1986 dan terminal pelabuhan barat bernilai RM1.2 bilion dari 1990 ke 1995.

Beliau mendakwa, perkara ini terjadi kerana pada masa itu, ahli lembaga dan pihak pengurusan pelabu-han Klang adalah kakitangan kerajaan yang mematuhi undang-undang khususnya Akta Lembaga Pelabuhan Klang.

“Peraturan kerajaan yang menetapkan mekanisme akauntabiliti dan ketelusan dan menjaga kepentingan kerajaan.

“Malangnya, ahli lembaga dan pihak pengurusan selepas tahun 2000 memilih tidak mengikut semua undang-undang dan peraturan. Ini telah menyebabkan peningkatan kos pembangunan sehingga RM12 bilion,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat keluasan, kedalaman kecacatan pengurusan dan penyalahgunaan dana awam yang menyebabkan skandal kewangan terbesar yang terjadi.

Tiada ulasan: