Rabu, 10 Jun 2009

Tambang bas biasa, ekspres naik 10 sen

Oleh Ziauddin Sharuddin


SEREMBAN: Surcaj 30 peratus bagi bas henti-henti dan ekspres yang dilaksanakan pada musim perayaan tahun lalu akan ditukarkan kepada kenaikan tambang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Sehubungan itu, katanya, kadar kenaikan tambang bas henti-henti dan ekspres yang akan diumumkan tidak lama lagi hanya menyaksikan kenaikan 10 sen atau tiada sebarang perbezaan.

Sebagai contoh, katanya, kadar tambang bas dari Seremban dan Kuala Lumpur sebelum musim perayaan tahun lalu adalah RM4.70 dan selepas dikenakan surcaj RM1.30, kadar tambang yang dikenakan terhadap penumpang ialah RM6.

"Oleh itu, jika kenaikan tambang baru diumumkan, pengguna tetap membayar kadar tambang sebanyak RM6," katanya selepas menyampaikan 83 Surat Tawaran Kelulusan (STK) lesen teksi dan kereta sewa individu, di sini, semalam.

Kali terakhir kenaikan tambang bas dibuat pada 2005 menyebabkan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia meminta kerajaan menaikkan kadar tambang pengangkutan itu.

Walaupun harga minyak diturunkan, pengusaha syarikat bas memberi alasan kenaikan perlu berikutan peningkatan kos operasi, terutama kos penyelenggaraan, alat ganti dan upah pemandu.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan bersetuju memberi kenaikan tambang 30 peratus bagi meringankan beban pengusaha pengangkutan awam itu termasuk surcaj 30 peratus tambang bas ekspres yang dikekalkan hingga hari ini.

Nazri berkata, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) kini pada peringkat akhir untuk mendapatkan maklum balas kementerian berkaitan kenaikan kadar tambang.

"Saya juga berpendapat sudah tiba masanya kadar tambang diubah dan berharap semua pihak bersabar sebelum kata putus dibuat," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan tidak teragak-agak membatalkan permit pemilik teksi yang mahu mengaut keuntungan mudah dengan membenarkan warga asing memandu teksi mereka.

Beliau berkata, LPKP mengesan beberapa pemilik teksi melakukan perbuatan itu dan kini dalam proses mengambil tindakan terhadap mereka.

Bagaimanapun, katanya, tindakan membatalkan lesen hanya diambil jika mereka melakukan kesalahan buat kali ketiga, manakala kesalahan pertama dan kedua, masing-masing dikenakan kompaun RM300.

“Kerajaan memandang serius perbuatan itu kerana permit teksi hanya untuk rakyat Malaysia supaya mereka dapat mencari rezeki dan bukan untuk warga Indonesia, Nepal dan Pakistan,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, LPKP masih bertimbang rasa dengan tidak terus membatalkan lesen jika melakukan kesalahan pertama kerana memikirkan mereka masih perlu membayar pinjaman kenderaan.

Tiada ulasan: