Selasa, 9 Jun 2009

Surcaj 30 peratus akan ditukar kepada kenaikan tambang - Nazri

BERNAMA


SEREMBAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata surcaj 30 peratus bagi bas henti-henti dan bas ekspres yang dilaksanakan dari musim perayaan tahun lepas akan ditukarkan kepada kenaikan tambang.

Beliau berkata oleh itu kadar kenaikan tambang bas henti-henti dan ekspres yang akan diumumkan bakal menyaksikan kenaikan 10 sen sahaja atau tiada sebarang perbezaan.

Surcaj 30 peratus yang dikenakan dahulu akan ditukar kepada kenaikan tambang, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan permit teksi dan kereta sewa kepada 85 pemohon di sini hari hari ini.

"Sebagai contoh, harga tambang bas harian dari Seremban ke Kuala Lumpur adalah sebanyak RM4.70 sebelum musim perayaan tahun lepas, ia kemudian dikenakan surcaj RM1.30 (kesemuanya RM6) dan jika kenaikan (tambang) baru diumumkan, pengguna tetap membayar harga tiket RM6," katanya.

Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas SeMalaysia sebelum ini mahu kerajaan menaikkan kadar tambang bas ekoran peningkatan kos operasi termasuk kos penyelenggaraan, alat ganti dan upah pemandu serta kenaikan harga minyak Jun tahun lepas.

Kali terakhir kenaikan tambang bas dibuat pada tahun 2005.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan pada dasarnya bersetuju memberi kenaikan tambang 30 peratus bagi meringankan beban pengusaha pengangkutan awam dan ini termasuk surcaj 30 peratus tambang bas ekspres yang dikekalkan sehingga hari ini.

Sementara itu, Mohamed Nazri memberi amaran bahawa pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pemilik teksi yang menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing.

"Selepas tiga kali mereka dikompaun, kita akan tarik permit mereka...kita bagi tiga kali peluang. Kalau kita terus ambil tindakan keras semasa kali pertama tertangkap, itu maknanya kita sudah tutup pintu rezeki dia sedangkan teksi itu masih ada hutang dengan bank, bank pula mungkin tidak dapat bayaran balik," katanya.

Beliau berkata kompaun bagi kesalahan itu ialah RM300.

Terdahulu dalam ucapannnya, Mohamed Nazri berkata kerajaan bersetuju untuk melanjutkan had usia teksi dan kereta sewa kepada 10 tahun berbanding tujuh tahun sebelum ini bagi meringankan bebanan pemiliknya.

"Dengan cara ini, tuan-tuan dapat memaksimum penggunaan kereta berbanding dengan pembiayaan pinjaman," katanya.

Tiada ulasan: