Selasa, 9 Jun 2009

Stadium Tertutup Juga Retak!

SM Noor


KUALA NERUS – Selepas seminggu tragedi bumbung runtuh Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, stadium tertutup yang terletak bersebelahan pula dikesan terdapat beberapa retakan.

Keretakan itu dikesan pada laluan utama kenamaan berhampiran foyer stadium telah dilaporkan sebuah akhbar media perdana.

Keretakan itu dikhuatiri akan menjadi lebih teruk sekiranya langkah segera tidak diambil.

Bagaimanapun, menurut akhbar itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, ketika dihubungi enggan mengulas kerana belum menerima laporan berhubung keretakan atau kebocoran di Stadium Tertutup. .

"Saya tidak menerima sebarang laporan daripada Jabatan Kerja Raya mahupun pengurusan stadium berhubung kebocoran mahu pun keretakan yang didakwa berlaku," katanya.

Minggu lalu, selepas bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh, Menteri Besar Terengganu telah mengarahkan pihak Jabatan Keja Raya Terengganu memriksa tiga projek mega lagi yang dilaksanakan semasa zaman bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Dua daripada tiga bangunan tersebut iaitu kolam renang dan kini stadium tertutup dilaporkan mempunyai kecacatan yang melibatkan soal keselamatan.

Pusat Akuatik atau kolam renang Batu Burok telah dilaporkan bocor oleh pelbagai media, namun sebelum siasatan penuh dilakukan, Ahmad Said yang melakukan lawatan mengejut tiba-tiba mengesahkan tiada kebocoran berlaku.

Namun beliau mengakui terdapat kecacatan pembinaan dan penggunaan bahan yang tidak sesuai menyebabkan besi tiang atap kolam renang tersebut berkarat.

Kini tinggal Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang belum dilaporkan mengalami kecacatan walaupun sebelum ini lampu panduan penerbangan dan ‘jetway’atau jambatan laluan penumpang masuk kedalam kapalterbang dilaporkan mengalami kerosakan.

Tiada ulasan: