Rabu, 3 Jun 2009

Stadium: Mampat gesa tubuh badan siasatan bebas

Abdul Rahim Sabri


Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin campurtangan supaya ditubuhkan sebuah badan bebas bagi menyiasat kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak roboh pagi semalam.

Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata badan bebas diperlukan kerana pihaknya bimbang, dengan penglibatan orang-orang politik dalam kes itu, ia akan "disenyap dan didiamkan " sahaja.

"Mampat merafak sembah memohon Tuanku mengarahkan penubuhan badan ini, demi hak dan maruah rakyat Terengganu," kata Mohamad Fauzi dalam satu kenyataan hari ini.

terengganu gong badak stadium collapse sultan mizan 020609Mampat turut mempertikaikan bumbung boleh runtuh sedangkan kos pembinaan stadium itu berjumlah lebih RM250 juta dan runtuh setahun sebulan selepas dirasmikan oleh Sultan Mizan, yang juga Sultan Terengganu.

"Adalah memeranjatkan dan memalukan bagaimana binaan yang menelan belanja sedemikian rupa boleh runtuh dan rosak sehingga melebihi 60 peratus struktur bumbung.

"Persoalan yang wujud terlalu banyak. Orang ramai tertanya-tanya bagaimanakah sebuah stadium yang dirasmikan oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) boleh runtuh.

Badan itu juga turut mendakwa bahawa JKR "telah sedia maklum" bahawa terdapat kerosakan pada struktur bangunan stadium, terutama pada atap sebanyak satu peratus.

"Mampat difahamkan ianya pernah dikeluarkan di dalam blog-blog pada tahun lepas.

Dakwa campurtangan politik

Mampat juga turut menyiarkan gambar-gambar tersebut di dalam blognya - www.mampat.blogspot.com .

"Ketidakcaknaan ini telah menyebabkan berlakunya 'celaka' ini," katanya

Mampat, tegas Mohamad Fauzi, telah menerima pelbagai rungutan, aduan dan maklumat daripada rakyat Terengganu berkenaan dengan stadium tersebut.

Antaranya, kata beliau, mereka mendakwa terdapatnya campurtangan orang politik dalam pelantikan kontraktor tambahan walaupun telah 'disenaraihitam' manakala pembekal juga dikaitkan dengan orang politik yang sama.

"Mampat juga difahamkan bahawa terdapat tuntutan V.O sebanyak RM 30 juta sebelum pilihanraya Mac 2008 yang lalu. Alasan tuntutan yang digunakan adalah untuk kerja-kerja baik pulih kerja-kerja 'ringan'," kata Mohamad Fauzi.

Namun, katanya, Mampat tidak tahu, kenapa dan bagaimana kelulusan ''mee segera' boleh dilakukan kerana mendakwa tidak nampak apakah yang dimaksudkan dengan 'kerja-kerja' ringan tersebut.

Sehubungan itu, badan itu juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kejadian ini kerana percaya terdapat "unsur-unsur penyelewengan" di dalam pembinaan stadium tersebut.

Tiada ulasan: