Selasa, 16 Jun 2009

Speaker tidak berhak campur tangan tugas SPR

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak berhak campur tangan dalam tugas- tugas perlembagaan termasuk mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan entiti yang layak berbuat demikian.

Walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Speaker, ia masih belum melayakkan beliau mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN.

Ini kerana tugas Speaker DUN terhad kepada mengemukakan surat peletakan jawatan itu kepada SPR sebelum suruhanjaya tersebut menentukan sama ada wujud kekosongan kerusi dan seterusnya mengumumkan sama ada perlu diadakan pilihan raya kecil atau sebaliknya.

Demikian penghakiman penuh Mahkamah Persekutuan ketika memutuskan tindakan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar mengisytiharkan kekosongan tiga kerusi iaitu Behrang, Changkat Jering dan Jelapang, terbatal dan tidak sah.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff pada 9 April lalu berpuas hati bahawa ketiga-tiga mereka iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) merupakan ADUN yang sah bagi kawasan tersebut.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nik Hashim Nik Ab. Rahman, Datuk Seri S. Augustine Paul dan Datuk James Foong.

Hakim Nik Hashim dalam penghakiman bertulisnya menyatakan, keputusan Sivakumar itu bercanggah dengan Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957.

Menurut beliau, ini kerana Perkara 36(5) UTKNP ketika dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958 membawa maksud bahawa SPR merupakan entiti yang layak berbuat demikian.

‘‘SPR berhak campur tangan dalam perkara berbangkit yang menyentuh isu peletakan jawatan ADUN dan menentukan sama ada wujud kekosongan kerusi sebelum mengemukakan writ bagi mengadakan pilihan raya kecil,’’ ujar beliau.

Tiada ulasan: