Jumaat, 12 Jun 2009

Skim Mikro Kredit Usahawan Untuk Bantu Golongan Miskin

BERNAMA


PULAU PINANG -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menubuhkan Skim Mikro Kredit Usahawan dengan peruntukan RM3 juta untuk membantu golongan miskin mengatasi krisis kelembapan ekonomi.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata skim itu diharap dapat memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 1,000 pemohon dalam menangani krisis kelembapan ekonomi kini.

"Skim ini ditubuhkan untuk membantu golongan miskin mengatasi krisis kelembapan ekonomi terutamanya kepada kaum wanita dan ibu tunggal yang terpaksa menanggung beban menyara keluarga," katanya dalam ucapan selepas menpengurusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) di sini hari ini.

Lim berkata kemelesetan ekonomi pada awal tahun ini telah memberi kesan ketara ke atas kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia khususnya Pulau Pinang dengan anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi tahun ini telah menyusut.

"GDP Negeri telah menurun sehingga ke paras negatif tiga peratus berbanding 3.3 peratus pada tahun lepas," katanya.

Pada Januari lalu, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM10 juta untuk mewujudkan Pusat Bantuan dan Latihan Kerjaya (CAT) bagi membantu mereka yang menganggur di negeri itu semasa kemelesetan ekonomi global.

Sekiranya keadaan ekonomi tidak pulih, beliau berharap kedua-dua pakej ini dapat membantu rakyat Pulau Pinang dalam menghadapi kemelesetan ekonomi.

Tiada ulasan: