Isnin, 22 Jun 2009

SIS seret KDN ke mahkamah, Rabu ini

MALAYSIA KINI


Kes mahkamah Sisters in Islam (SIS) mencabar keputusan kerajaan mengharamkan bukunya Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism tahun lalu akan didengar Rabu ini.

Peguam NGO terkenal itu Malik Imtiaz Sarwar dan K Shanmuga akan mendengar permohonan untuk semakan kehakiman kes tesebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, jam 11 pagi.

Ogos lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku tersebut yang disunting seorang ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Norani Othman dengan alasan "mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya."

Norani seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Bangi.

Buku setebal 215 halaman itu memuatkan 10 bab hasil karangan beberapa pemikir wanita Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Norani, bertindak sebagai penyunting karya tersebut, mengarang makalah pertama yang dijadikan judul buku berkenaan.

Beliau bersama bekas pemimpin utama SIS Zainah Anwar menghasilkan bab terakhir 'Muslim women, the challenge of Islamic extremism and the way forward to building bridges between Southeast Asia dan the Middle East.'

Makalah-makalah ini hasil perbincangan penyumbang- penyumbangnya di Bellagio, Itali pada 2003 dengan biaya Yayasan Rockefeller.

Pertemuan pertama bermula di Kuala Lumpur pada Januari tahun itu.

Selain dua penulis ini dan Toni Kasim dari Malaysia, penyumbang lain termasuklah Fatma Khafagy (Mesir), Kamala Chandrakirana (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Iran), Amina Lemrini El Ouahabi (Maghribi), Hoda Rouhana (Palestin), Norma A Maruhom (Filipina) dan Suzaina Kadir (Singapura).

Ketua penolong setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Abdul Razak Abdul Latif dilaporkan berkata, jika penerbitan berkenaan dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat.

Tiada ulasan: