Rabu, 17 Jun 2009

Si cilik minat nak tahu gaji PM

MYMETRO


PUTRAJAYA: “Rahsia,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berseloroh ketika seorang kanak-kanak bertanyakan gaji diperoleh beliau sebagai Perdana Menteri pada majlis Hari Kanak-kanak Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) di Sri Satri, semalam.

Najib yang sebelum itu menghadiri majlis rasmi lain di ibu negara, sempat meluangkan masa lebih satu jam untuk meraikan lebih 400 kanak-kanak yang terdiri anak yatim, anak memerlukan bantuan khas, kanak-kanak Permata Negara, kanak-kanak Tunas Harapan dan Tunas Budaya.

Selain berpeluang bertanyakan soalan, kanak-kanak terbabit beramah mesra dengan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Lebih menarik, Perdana Menteri turut menunjukkan bakat nyanyian apabila mendendangkan lagu ‘Young Ones’ diiringi Rosmah dan anak mereka, Nooryana Najwa di atas pentas.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ahli Kehormat Bakti, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengerusi Lion Parkson Corporation Berhad, Puan Sri Chelsia Cheng dan Pengarah Eksekutif Berjaya Coproration Berhad, Datuk Robin Tan.

Beberapa syarikat korporat turut bermurah hati menaja majlis berkenaan termasuk Yayasan Lion Parkson, Berjaya Foundation Berhad, Anakku Sdn Bhd, Nestle Products Sdn Bhd Hwa Tai Industries Bhd, Hwa Thong Bag Industries Sdn Bhd, KFC Berhad dan Wall’s Ice Cream Berhad.

Selain itu, beberapa artis popular seperti Aznil Nawawi, Farah AF2, Dafi, Syed Sobri dan Azie turut diundang menghiburkan tetamu.

Terdahulu Rosmah berkata, Hari Kanak-kanak Bakti diadakan selaras objektif Bakti menggembleng tenaga dan usaha ahli menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

“Sejak dulu lagi sudah menjadi kebiasaan Bakti menyambut hari istimewa ini bagi meraikan anak yatim dan kurang upaya.

“Namun, sejak akhir ini program seumpama ini tidak dilaksanakan dan kali terakhir diadakan pada Disember 2006 di mana Bakti menganjurkan Hari Kanak-Kanak sempena Global Indian Film Awards (Gifa),” katanya.

Pada masa sama, Rosmah berkata ibu bapa dan guru perlu memastikan pembangunan modal insan anak-anak diterapkan dengan menanam nilai murni, disiplin, moral dan nilai sosial yang positif dalam diri mereka.

Tiada ulasan: