Jumaat, 12 Jun 2009

Shahrir tidak setuju jambatan ke-3

UTUSAN ONLINE


JOHOR BAHRU - Jambatan ketiga menghubungkan Singapura dengan kawasan timur Johor tidak wajar dibina, kata Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata, pembinaan jambatan itu yang menghubungkan Belungkur di Pengerang dan Changi di Singapura bukan satu keperluan mendesak.

"Bagi saya membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor adalah menjadi keutamaan sebagai mengatasi masalah kesesakan pusat bandar raya ini.

"Apa yang berlaku di Pengerang bukan satu keperluan mendesak, sebaliknya ia boleh diatasi dengan meningkatkan kecekapan perkhidmatan feri atau menggalakkan pengguna kapal dan bot bagi menghubungkan antara kedua-dua negara,'' katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Jalan Serampang dan Jalan Perang di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru menambah, penggunaan bot dan feri di perairan Pengerang berbanding jambatan ketiga menepati imej Pengerang sebagai pusat riadah dan pelancongan.

Sehubungan itu, katanya, kos pembinaan jambatan ketiga itu lebih baik digunakan untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang berusia lebih 83 tahun itu.

Tiada ulasan: