Jumaat, 19 Jun 2009

Sesiapa saja boleh tanding Naib Presiden - Samy Vellu

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini berkata beliau tidak akan menghalang manamana pemimpin parti itu untuk bertanding jawatan naib presiden.

"Sesiapa saja boleh bertanding, tapi apa yang lebih penting ialah cara mereka berkempen," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di sini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada pemimpin MIC, termasuk mereka yang menyandang jawatan dalam Kabinet seperti Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, juga boleh bertanding.

Pengumuman beliau itu membuka laluan kepada Dr Subramaniam untuk bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti berkenaan.Setakat ini, hanya bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam dan Naib Presiden Datuk S. Sothinathan mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding jawatan itu. Penyandang jawatan itu Datuk G. Palanivel, belum mengumumkan pendiriannya untuk mempertahankan jawatan.

Dr Subramaniam, yang juga setiausaha agung MIC belum mengumumkan untuk bertanding manamana jawatan pada pemilihan parti yang akan diadakan pada 12 Sept, walaupun menerima sokongan daripada anggota di peringkat akar umbi yang berpendapat beliau patut bertanding jawatan timbalan presiden.

Jawatan lain yang akan dipertandingkan ialah tiga naib presiden dan 23 anggota CWC.

Samy Vellu berkata tidak menjadi masalah sekiranya pertandingan bagi jawatan timbalan presiden merupakan perlawanan satu lawan satu, empat penjuru atau enam penjuru, asalkan anggota perwakilan mempunyai pilihan.

Presiden MIC itu berkata beliau belum membuat keputusan untuk menyokong manamana calon yang akan bertanding jawatan timbalan presiden.

Samu Vellu berkata bekas Ketua Pemuda MIC S.A.Vigneswaran dan tiga bekas anggota Pemuda MIC yang meninggalkan parti itu tahun lepas, telah memohon untuk kembali ke pangkuan MIC.

"Baru-baru ini, mereka menemui saya dan berkata mereka ingin kembali menganggotai MIC dan saya penuhi permintaan mereka," katanya sambil menjelaskan bahawa CWC telah meluluskan permohonan mereka untuk kembali menyertai parti itu.

Samy Vellu berkata MIC akan menubuhkan Institut Kepimpinan bagi melatih bakal pemimpin masa depan daripada kalangan generasi muda.

Tiada ulasan: