Khamis, 4 Jun 2009

Semak tambang 3 tahun sekali

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kadar tambang pengangkutan awam di negara ini akan disemak secara berkala tiga tahun sekali dengan melantik perunding bebas untuk mengendalikannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Mohamed Nazri berkata, tempoh itu adalah bersesuaian dan wajar bagi membuat semakan berkenaan, bagaimanapun tambang tidak semestinya akan dinaikkan setiap kali semakan dilakukan.

Menurutnya, melantik perunding bebas bagi menjalankan semakan daripada menubuhkan satu unit di bawah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) adalah lebih baik kerana perunding bebas lebih berkepunyaan melakukannya.

“Saya kira lebih baik kita lantik perunding berteru-san kerana jika kita tubuh unit, ia akan membebankan tanggungjawab kerajaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Interaksi Bersama Persatuan dan Pengusaha Teksi serta Kereta Sewa Lembah Klang, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran dan Pengarah LPKP, Naimah Ramly.

Beliau berkata, cada-ngan menaikkan tambang pengangkutan awam yang bakal diumumkan bulan depan akan menyaksikan peningkatan tambang teksi daripada RM2 kepada RM3, bagaimanapun kadar tambang bagi teksi eksekutif kekal sama.

Beliau yang bertanggungjawab terhadap LPKP berkata, ketika jalan sesak dan kenderaan bergerak, caj yang bakal dikenakan bagi setiap 27 saat adalah 13 sen berbanding kadar lama iaitu 10 sen bagi setiap 45 saat.

“Bagi kadar biasa, setiap 150 meter akan dikenakan caj sebanyak 13 sen dan peningkatan kadar tambang teksi ini tidak akan membebankan orang ramai memandangkan perkhidmatan teksi digunakan oleh mereka yang berkemampuan.

“Kenaikan tidak akan jejaskan orang yang tidak mampu kerana mereka tidak naik teksi dan mereka juga mempunyai alternatif lain seperti bas.

“Pada saya kita harus mengambil kira pengusaha dan pemandu teksi kerana kalau kita tidak bagi dia pendapatan yang cukup bagaimana dia ingin menawarkan perkhidmatan dengan baik,” katanya.

Katanya, beliau juga akan mencadangkan kepada kabinet agar satu sekolah memandu pe-ngangkutan awam di wujudkan untuk melatih pemandu pengangkutan awam di negara ini.

Menurut Mohamed Nazri, cadangan itu adalah penyelesaian jangka panjang yang dapat mengawal kualiti pemanduan dan mempertahankan mutu perkhidmatan pengangku-tan awam di negara ini.

“Saya fikir cadangan ini baik dan saya rasa syarikat pun suka kalau kita mengeluarkan pemandu yang berhemah dari sekolah ini dan kita juga boleh mewujudkan sistem data sentral.

“Kita akan tahu di mana pemandu yang keluar dari sekolah ini bekerja dan kalau dia buat kerja tidak elok semua syarikat pe-ngangkutan akan tahu.

“Sekarang ini jika pemandu itu membawa bas dan melakukan kesalahan, dia akan diberhentikan tetapi orang lain pula akan ambil dia bekerja dan kita tidak boleh menyalahkan syarikat itu kerana dia tidak tahu,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, LPKP akan mempertimbangkan untuk mengenakan huku-man denda sebanyak RM300 kepada pengusaha teksi daripada menarik semula permit teksi.

Katanya, sebelum ini, sekiranya seseorang pemandu teksi itu melakukan kesalahan, permit teksi syarikatnya akan ditarik balik dan ini tidak adil bagi pengusaha teksi memandangkan yang melakukan kesalahan itu adalah pemandu.

“Jika pemandu itu diberhentikan dia boleh bekerja dengan syarikat lain tetapi pengusaha sudah tidak boleh berniaga.

“Jadi lebih baik kenakan kompaun dan sekiranya pemandu itu melakukan kesalahan melebihi tiga kali, kita akan sarankan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya menarik balik lesen memandu teksi (PSV) mereka,” katanya.

Tiada ulasan: