Isnin, 22 Jun 2009

Selangor Syorkan Sistem Undi Terbuka Lantik Kontraktor PBT

MURIZA ABDUL HAMID


SHAH ALAM - Kerajaan negeri hari ini bersetuju untuk mengadakan sistem pengundian secara terbuka bagi melantik kontraktor pengurusan sampah di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah mewujudkan sistem itu bagi membolehkan semua syarikat yang berkeupayaaan mempunyai peluang yang saksama untuk dipilih.

“Kerajaan negeri berharap kaedah ini yang dijalankan bersama dengan Jawatankuasa Audit yang bakal ditubuhkan dapat memastikan kontraktor yang benar-benar layak memperoleh kerja tersebut, serta mengurangkan kemungkinan amalan rasuah dan tidak beretika,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dekat sini, petang tadi.

Menurutnya, butiran lanjut mengenai bagaimana sistem tersebut dijalankan bakal diumumkan dalam masa sebulan lagi.

“Kerajaan negeri juga akan mendapatkan khidmat nasihat daripada Transparency International berhubung perkara ini,” kata Abdul Khalid.

Tiada ulasan: