Khamis, 4 Jun 2009

Selangor letak Exconya dalam PKA

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Selangor akan meletakkan seorang Exconya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) untuk memantau semua projek pembangunan di Pelabuhan Klang termasuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengumumkan perkara itu bagaimanapun tidak menyatakan nama Exco yang bakal dilantik atas alasan mahu mendapatkan persetujuan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) terlebih dahulu.

''Perkara itu telah diutarakan kepada PKA dan kita sedang menunggu maklum balas daripada mereka.

''Selepas itu, baru kita akan umumkan nama exco yang dipilih,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini petang ini.

Menurut Abdul Khalid, pihaknya meletakkan seorang Exco sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKA bagi mengisi kerusi dikosongkan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Datuk Noordin Sulaiman.

Jelas beliau, kerusi ahli lembaga pengarah tersebut memang diperuntukkan untuk seorang wakil kerajaan negeri.

''Tempoh perkhidmatan Nordin telah tamat dua bulan lepas, oleh itu kita telah namakan seorang daripada ahli Exco untuk isi kekosongan itu memandangkan betapa pentingnya pembangunan Pelabuhan Klang.

''Kita juga mahu memantau perkembangan dan masalah yang dihadapi LPK dalam meneruskan PKFZ secara total,'' ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri menyokong penuh projek PKFZ diteruskan kerana ia mampu meningkatkan tahap ekonomi negeri seterusnya negara dalam urusan perdagangan antarabangsa selain menggalakkan pembinaan kilang-kilang dan seterusnya menawarkan banyak peluang pekerjaan di Selangor.

Pada 30 Mei lalu, akhbar melaporkan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang dalam proses menyusun semula PKA dan anak syarikatnya, Port Klang Free Zone Sdn. Bhd. setelah laporan audit mendedahkan kelemahan urus tadbir sebagai punca projek PKFZ dirundung pelbagai masalah.

Ia ekoran timbulnya kontroversi apabila beberapa pihak mendedahkan bahawa kos pembangunan hab muatan dan pemindahan kapal PKFZ milik PKA seluas 405 hektar yang menempatkan gudang, blok pejabat dan hotel bertaraf empat bintang melambung tinggi daripada nilai asalnya.

Tiada ulasan: