Isnin, 8 Jun 2009

Selamat datang Lee Kuan Yew. Selamat berjuang Samy Vellu!

Ruhanie Ahmad


Lee Kuan Yew akan menjelajah Malaysia minggu depan. Beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak dan Sultan Pahang. Beliau juga akan mengunjungi Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Seterusnya, beliau akan menemui Naib-Naib Presiden UMNO, Presiden MCA, Menteri Besar Selangor, Menteri Besar Perak, Menteri Besar Kelantan dan Ketua Menteri Pulau Pinang (The Malaysian Insider).

Semalam Samy Vellu mahu Awang Selamat dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan semata-mata kerana kolumnis itu menyiarkan semula kenyataan Tan Siew Sin mengenai fakta sejarah etnisiti di Malaysia (atikel Awang Selamat ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia 31.5.2009).

Hari ini ada pemimpin pemuda MIC buat laporan polis terhadap Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, semata-mata kerana ayat ini: Bila orang Melayu membela hak Melayu, mereka kata perkauman, namun apabila mereka membela hak mereka dan ada kalanya menyinggung perasaan orang Melayu dan raja-raja Melayu, mereka tidak menganggapnya sebagai perkauman (Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, Utusan Malaysia: 4.6.2009).

Secara kebetulan, antara rumusan posting saya malam tadi adalah kenyataan ini: Bila orang Melayu dan Bumiputera bertindak untuk menyuarakan kebenaran, tindakan itu cepat-cepat dilabelkan oleh sesetengah bukan Melayu sebagai tindakan rasis dan anti-perpaduan. Tetapi, bila sesetengah bukan Melayu mengungkit-ungkit, mengasak dan cuba menginjak-injak kedudukan Melayu pada hari ini, tidak ada siapa pula yang berani melabelkan tindakan segolongan bukan Melayu itu sebagai cauvinis dan rasis. Jika beginilah keadaannya, bilakah akan wujud perpaduan nasional yang tulin di Malaysia? Jika beginilah keadaannya, sampai bilakah orang Melayu dan Bumiputera akan menjadi mangsa label yang double-standard semata-mata kerana sebagai peribumi, orang Melayu dituntut supaya sentiasa bersabar dan bersikap amat toleran terhadap gelagat sesetengah bukan Melayu yang seolah-olah mahu mencabar kesebaran orang Melayu dan Bumiputera (Ruhanie Ahmad, Ketua Penerangan Perkasa, kuda-kepang: 3.6.2009).

Seterusnya, untuk renungan Samy Vellu, anak buahnya yang membuat aduan polis mengenai Ibrahim Ali, Lim Guan Eng yang diberitakan menyekat wartawan Utusan Malaysia daripada menghadiri satu sidang akhbar anjuran PKR di Pulau Pinang, Lim Kit Siang yang diberitakan sebagai memfitnahkan MARA kononnya kehabisan dana untuk membiayai biasiswa pelajar Bumiputera, orang kuat Gerakan yang nak bawa balik Chin Peng, dan lain-lainnya yang pada hujung tahun 2008 mengungkit-ungkit hal ehwal orang Melayu, saya paparkan di sini imbasan berita daripada Berita Harian 25 Jun 1965 seperti berikut:

KUALA LUMPUR, 24 JUN 1965 – Menteri Kerjayara, Pos dan Telekom, Datuk V.T Sambanthan, hari ini telah bertanyakan Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura, di negeri mana di dalam dunia ini bangsa-bangsa yang mendatang diterima baik menjadi warganegaranya beramai-ramai.

Beliau menegaskan bahawa hanya negara ini sahaja di dalam dunia ini telah memberi segala kemudahan kepada semua bangsa yang mendatang di sini menjadi warganegaranya.

Datuk Sambanthan berkata demikian di dalam Dewan Rakyat tadi ketika dewan mendebatkan titah ucapan Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong.

Di dalam ucapannya selama 45 minit, Datuk Sambanthan telah mengkecam hebat sikap Lee Kuan Yew yang memainkan peranan perkauman di sini untuk kepentingan diri sendiri.

Beliau menuduh Lee Kuan Yew cuba memainkan politik perkauman dengan mengatakan Kerajaan Melayu Pusat cuba menguasai Kerajaan Negeri.

Datuk Sambanthan telah bertanyakan Lee Kuan Yew di mana letaknya logik tuduhannya itu.

Katanya: “Jikalau sungguhlah dakwaan Lee Kuan Yew itu, memang bodohlah pemimpin-pemimpin Melayu di sini dalam tahun 1957 dahulu memberi segala kemudahan kepada bangsa-bangsa asing di sini menjadi warganegara di sini.

“Jika benar laungan-laungan Lee Kuan Yew itu bahawa Kerajaan Melayu Pusat hendak mengusai bangsa-bangsa lain, mengapa mereka membenarkan bangsa-bangsa asing itu dengan senang saja menjadi warganegara di sini”.

“Ini amat bodoh sekali kerana adanya lebih ramai bangsa-bangsa asing (khususnya Cina dan India) menjadi rakyat di sini, tentu sukar bagi orang-orang Melayu di sini hendak menguasai bangsa-bangsa lain itu.

“Jika benar mereka hendak menguasai bangsa-bangsa asing di sini, mereka denga mudah sahaja berbuat demikian dalam tahun 1957 dahulu dengan tidak memberi kemudahan untuk bangsa-bangsa asing menjadi warganegara.

Beliau menerangkan bahawa sungguhpun orang-orang Melayu telah bermurah hati menerima baik bangsa-bangsa asing, tetapi sekarang ini mereka itulah (Melayu) golongan bangsa yang termiskin sekali.

Datuk Sambanthan bertanya: “Siapa yang memiliki bandar-bandar dan gudang-gudang serta ladang-ladang di sini. Adakah gudang-gudang dan ladang-ladang ini dimiliki oleh orang-orang Melayu?” (Berita Harian: 25.6. 19650).

Hansard yang menjadi asas kepada kenyataan Sambanthan di atas pastinya masih tersimpan di pusat data Parlimen Malaysia. Kenyataan tersebut amat relevan kepada Samy Vellu, DAP dan kita semua, khususnya orang Melayu yang asyik dituduh sebagai perkauman, walaupun dalam menyatakan kebenaran mengenai sejarah etnisiti di tanah air ini. Fikir-fikikanlah!

Tiada ulasan: