Isnin, 1 Jun 2009

Sedia hiburan halal untuk umat Islam - Jamil Khir

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat Islam di negara ini diminta supaya bersikap lebih kreatif untuk menyediakan pelbagai hiburan yang halal dari segi agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu penting bagi memastikan umat Islam mempunyai alternatif untuk menghiburkan diri mereka.

''Umat Islam khususnya generasi muda kini banyak terpengaruh dengan konsert hiburan yang melalaikan kerana mereka tidak mempunyai alternatif lain untuk berhibur," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan penutupan Majlis Tilawah Al-Quran, Azan, Nasyid, Ceramah, Kuiz Agama dan Hafazan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) 2009 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Anan C. Mohd.

Turut hadir Presiden Kebangsaan Gepima, Mohamed Kathir Ali.

Dalam pada itu, Jamil Khir berharap NGO terbabit turut memberikan tumpuan untuk mengadakan lebih banyak kelas bagi mengajar generasi muda kaedah sebutan al-Quran mengikut tajwid.

''Kita sedih kerana kesibukan ibu bapa mengejar kekayaan duniawi telah menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab mendidik anak- anak berkaitan asas-asas agama dan saya berharap kelemahan ini dapat ditampung oleh para NGO.

''Bacaan al-Quran yang betul ini adalah penting bagi membolehkan umat Islam mengerjakan solat dengan sempurna," katanya.

Beliau berkata, aktiviti lain yang boleh dibuat oleh NGO terbabit ialah menganjurkan kempen bagi menyedarkan generasi muda mengenai keburukan budaya lepak dan penyalahgunaan dadah.

Tiada ulasan: