Jumaat, 19 Jun 2009

Salah cetak: 8,375 unit al-Quran dirampas

UTUSAN ONLINE


SEPANG - Sebanyak 8,375 unit al-Quran pelbagai bahan bernilai RM103,945 dirampas sepanjang tahun ini kerana didapati mengandungi pelbagai kesalahan cetakan.

Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan teks al-Quran, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, al-Quran pelbagai bahan termasuk perisian digital, blok cetakan serta perhiasan dinding itu turut membabitkan bahan al-Quran yang diimport melalui penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara.

''Bahan al-Quran yang dirampas itu mengandungi pelbagai kesalahan seperti kesalahan baris, huruf, garisan, tulisan imla'ei iaitu selain tulisan Uthmani termasuk teks yang terlalu kotor," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga berkenaan kali ke-58 di sini semalam.

Dalam pada itu, Harussani berkata, mesyuarat ahli lembaga itu telah meluluskan empat bahan al-Quran untuk diterbitkan manakala 14 bahan lagi diterima dengan pembetulan.

''Sembilan bahan lagi telah ditolak melalui semakan yang dijalankan oleh ahli lajnah seramai 30 orang kerana didapati melebihi 30 kesalahan besar serta 90 kesalahan kecil," katanya.

Harussani juga memberitahu, sebanyak 185 tan teks dan bahan al-Quran yang telah rosak dan menyalahi Akta Percetakan dan Teks al-Quran berjaya dilupuskan sejak tahun lalu sehingga hari ini.

Katanya, bahan al-Quran itu telah dikumpulkan dari setiap masjid seluruh negara oleh orang perseorangan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan dilupuskan melalui mesin insinerator.

''Abu al-Quran yang dilupuskan dihanyutkan ke laut Selat Melaka dengan kerjasama Kastam Melaka sebelum kita mendapatkan tapak tanah sendiri untuk dijadikan tempat pelupusan," katanya.

Sementara itu, Harussani berkata, pihaknya telah mengesan kesalahan sumber al-Quran daripada internet yang dinamakan 'al-Furqan al-Haq' yang cuba disebarkan sebagai usaha menyelewengkan akidah umat Islam.

''Sumber al-Quran ini mereka telah ubah terus dan kita risau umat Islam ada yang terpengaruh, jadi kita mahu pihak berkuasa menghalang pengeluaran seperti ini yang didapati mengelirukan dan menyesatkan,'' katanya.

Tiada ulasan: