Rabu, 3 Jun 2009

Sajak 'Dari Dinding Dewan' hiasi Muktamar Pemuda PAS

Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR - Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat dihiasi dengan bacaan sajak daripada sasterawan tersohor, Dato' A. Samad Said atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad.

Pak Samad yang ditemani isteri hadir atas jemputan Dewan Pemuda PAS akan membacakan puisi yang berjudul 'Sajak Dari Dinding Dewan'.

Beliau memberitahu Harakah, kehadirannya pada malam ini bukan sekadar untuk membaca sajak tetapi kerana sokongan terhadap Dewan Pemuda PAS yang bersungguh-sungguh berjuang mempersadakan bahasa Melayu.

"Saya hadir bukan hanya untuk membaca sajak tetapi kerana sokongan terhadap PAS serta Pemudanya yang bersungguh-sungguh berjuang untuk mempersadakan bahasa ibunda.

"Komitmen yang ditunjukkan oleh Pemuda PAS amat saya sanjungi dan kerana itu saya perlu memberi sokongan kepada mereka," jelas Pak Samad.

Beliau juga menjelaskan komitmen yang ditunjukkan oleh Pemuda PAS dalam usaha melestarikan bahasa Melayu seharusnya dicontohi oleh semua pihak.

Mengulas mengenai perjuangan menentang dasar Pengajian dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata ia akan diteruskan selagi ia tidak dihapuskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Untuk meneruskan perjuangan tersebut jelas Pak Samad, kerjasama daripada golongan muda seperti Dewan Pemuda PAS amat diperlukan. - mns_

Tiada ulasan: