Khamis, 4 Jun 2009

Sabar tunggu keputusan ROS - Murugiah

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah meminta semua pihak bersabar menunggu keputusan sama ada beliau atau Datuk M.Kayveas yang sah menjadi Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP).

"Kita masih menunggu siasatan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan semua kena sabar dululah," katanya selepas melawat tapak rumah terbakar di Perumahan Awam Rumah Panjang Air Panas, Setapak di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau yakin keputusan ROS akan memihak kepadanya, Murugiah berkata: "Saya yakin. Sembilan puluh peratus ahlinya (PPP) sudah menyebelahi saya.

Murugiah dan Kayveas, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kini masing-masing mendakwa mereka merupakan Presiden PPP yang sah.

Menurut Murugiah beliau sudah bertemu dengan 110 ketua bahagian semalam untuk membincangkan hala tuju parti, tindakan serta perancangan yang akan dilakukan selepas ini.

"Saya juga merancang untuk menukar uniform PPP. Saya nak tukar imej parti. Kemudian kita nak pastikan semua cawangan yang dah dibubar sebelum ini dihidupkan kembali dan akan bagi suntikan baru kepada cawangan yang ada," katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan peribadi kepada dua keluarga mangsa kebakaran semalam yang akan dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Baru Air Panas mulai petang ini.

Tiada ulasan: