Sabtu, 13 Jun 2009

Rakyat perlu faham Perlembagaan Negara, Negeri

utusan online


PANTAI REMIS - Seluruh rakyat Malaysia khususnya Perak perlu memahami Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri supaya tidak sesekali melakukan tindakan melampau termasuk mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.

Ketua Penerangan negeri, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, pemahaman jelas mengenai kepentingan orang Melayu dan bumiputera di dalam kedua-dua perlembagaan itu amat diperlukan demi keharmonian kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

''Mana boleh mana-mana pihak mempertikaikan kepentingan Melayu dan bumiputera kerana perkara itu telah termaktub di dalam perlembagaan, malah ia merupakan perkara asas dalam perlembagaan kita.

''Perlembagaan itu adalah hasil rundingan semua kaum dan diputuskan secara bersama sebagai menghormati hak Melayu dan bumiputera.

''Orang yang mempertikaikan kuasa itu sebenarnya ada agenda lain, mereka bukannya mahu melaksanakan gagasan Satu Malaysia tetapi lebih kepada Malaysian Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat dermasiswa Yayasan Perak di sini hari ini.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menegaskan bahawa sebarang gerakan mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan bumiputera bukan sahaja melanggar peruntukan asas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.

Menurut baginda, perkara yang termaktub di dalam kedua-dua perlembagaan itu adalah persetujuan yang dicapai secara bersama ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.

Sementara itu Gagasan Melayu Perak (GMP) menggesa masyarakat di negara ini menerima kenyataan Sultan Perak itu dan menyedari bahawa mereka tidak boleh mempersendakan Raja-raja Melayu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, rakyat pelbagai kaum juga perlu faham bahawa kemerdekaan negara dicapai selepas raja-raja Melayu bersetuju mengorbankan kuasa autonomi mereka untuk bebas daripada penjajah British.

''Kita bangga kerana Tuanku berani bersuara dan menerangkan kepada rakyat agar mengerti dan faham tentang kuasa raja-raja Melayu di dalam perlembagaan yang telah dipersetujui awal-awal dahulu.

''Memang sudah layak dan hak Sultan Perak bertitah demikian terutamanya ketika ada rakyat yang mula mempertikaikan kuasa-kuasa raja malah ada yang mahu Malaysia menjadi sebuah republik," katanya yang juga Setiausaha Agung Persatuan Darul Ridzuan, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda Pas Perak yakin kenyataan Sultan Perak itu sentiasa menjadi pegangan parti sejak ia ditubuhkan walaupun meletakkan Islam sebagai pegangan tertinggi.

Naib Ketuanya, Salman Saleh berkata, ini kerana asas sistem Raja Berpelembagaan merupakan satu pendekatan yang diamalkan semua pihak sebagai amalan demokrasi tulen selama ini.

''Kita akan memberi komitmen jitu di dalam memahamkan seluruh rakyat akan asas-asas yang telah kita bawa semenjak merdeka lagi sehingga sekarang.

''Akibat rakuskan kuasa sesetengah pihak, mereka sanggup menolak dan menafikan keutuhan sistem Raja Berpelembagaan ini sebagai prinsipnya di dalam rukun negara kita," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Tiada ulasan: