Khamis, 4 Jun 2009

Prosedur pelantikan kontraktor diperketatkan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kabinet hari ini mengarahkan Kementerian Kerja Raya mengetatkan prosedur pelantikan kontraktor dan perunding pembinaan bagi projek-projek pembinaan awam.

Dalam reaksi segera ekoran kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, arahan berkenaan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang lagi.

Menurutnya, beberapa amalan dan etika pemberian kontrak sebelum ini juga perlu dikaji semula agar soal kualiti, profesionalisme dan kemampuan para kontraktor diberikan penekanan yang lebih tinggi.

Beliau juga membayangkan kemungkinan pelantikan perunding pembinaan juga dibuat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bukannya kontraktor.

"Kerajaan Pusat telah membincangkan tadi dalam mesyuarat Kabinet, khususnya melalui JKR supaya peraturan-peraturan pelantikan kontraktor, pelantikan konsultan, kerja-kerja pengesahan yang telah siap perlu diteliti semula.

"Mengikut situasi sekarang biasanya apabila kita melantik kontraktor, kontraktor akan melantik perunding, ini kerana kita hendak memastikan ada pihak dapat peluang kerja dan untuk tujuan pengagihan peluang perniagaan.

"Kita telah minta Menteri Kerja Raya meneliti perkara seperti itu dan mengetatkan perkara-perkara yang perlu agar kejadian seperti ini tidak berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kongres Dewan Sedunia ke-6 dan Smidex 2009 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terletak di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi tempat utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh sebahagian bumbungnya awal pagi semalam.

Keruntuhan itu menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Kerosakan itu melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Muhyiddin berkata, kerajaan negeri juga telah diarahkan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang dan syarat semasa pelantikan dibuat ke atas kontraktor stadium di Terengganu itu.

"Kita telah minta kerajaan negeri bertindak mengikut apa-apa peruntukan undang-undang dan syarat yang dikenakan waktu melantik kontraktor," katanya.

Beliau juga berkata, stadium itu sebenarnya hanya baru tujuh bulan diletakkan secara rasmi di bawah kendalian kerajaan negeri walaupun pernah digunakan untuk Sukma pada tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri juga telah menubuhkan satu pasukan penyiasat bagi mendapatkan gambaran menyeluruh terhadap apa yang sebenarnya berlaku.

Mengulas mengenai kemungkinan wujudnya unsur rasuah dalam pembinaan stadium berkenaan beliau berkata, perkara seperti itu perlu disiasat dan bukannya melalui andaian semata-mata.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, satu tragedi yang lebih besar nyaris berlaku jika runtuhan itu ditakdirkan berlaku pada hari ini kerana ada satu program sukan telah dirancang untuk diadakan pagi ini di stadium berkenaan.

"Nasib baik tidak ada manusia, patutnya ada program sukan dilangsungkan hari ini, orang kata ada hikmah atas apa yang telah berlaku, kalau berlaku waktu itu keadaan tentu lebih serius," katanya.

Tiada ulasan: