Rabu, 24 Jun 2009

PRK Manek Urai: Teka-teki Calon UMNO & Calon PAS..?

SABAH DAILY


Tuan Aziz Tuan Mat dianggap calon yang paling sesuai bertanding mewakili BN dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai. Ini kerana beliau boleh diterima oleh majoriti pengundi dan penyokong Umno dalam kumpulan ketua bahagian, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan bekas ketua bahagian, Datuk Wan Zaid Abdullah.

Tuan Aziz adalah antara tiga tiga nama yang dicadangkan oleh Umno bahagian Kuala Krai. Dua lagi nama ialah naib ketua Umno bahagian, Che Jalal Muda dan bekas ADUN Mengkebang, Azizuddin Hassan.

Menurut sumber-sumber Umno, nama mereka dipilih sendiri oleh ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian tersebut baru-baru ini.

Katanya, jika calon Manek Urai tidak sesuai dengan kehendak penyokong Umno, ramai mungkin tidak akan berkempen.

Oleh itu, katanya, Umno bahagian telah memberi mandat kepada AJK memilih tiga nama calon yang paling sesuai untuk bertanding di Manek Urai.

“Saya rasa nama-nama yang sesuai itu telah dihantar ke peringkat atasan untuk diteliti dan diputuskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

PAS sahkan calon, diumum Jumaat ini

Jawatankuasa Pusat PAS telah memutuskan calonnya yang bakal bertanding pilihan raya kecil kerusi Manek Urai bulan depan. Calon berkenaan, penduduk tempatan dari bahagian Kuala Krai, akan diumumkan Jumaat ini.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, PAS Kelantan telah menyerahkan tiga nama manakala Dewan Muslimat pula telah mengesyorkan satu nama kalangan wanita.

“Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) telah memaklumkan nama calon-calon berkenaan dan disahkan untuk dipilih sebagai calon PAS bertanding di Manek Urai,” kata beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan enggan menyatakan nama-nama yang diketengahkan malam tadi.

Difahamkan usahawan perikanan Fauzi Abdullah yang juga pemimpin PAS Kuala Krai bakal mewakili parti itu kali ini.

Pilihan raya kecil diadakan disebabkan kekosongan ekoran kematian penyandang kerusi itu dari PAS.

Penamaan calon akan diadakan 6 Julai dan jika ada pertandingan, pengundian dijadual 14 Julai.

Tiada ulasan: