Rabu, 24 Jun 2009

PR akan selesaikan masalah tanah penduduk jika diberi mandat memerintah

Hashim Abdullah


TEMERLOH - Pakatan Rakyat negeri Pahang akan memberi keutamaan dalam usaha menyelesaikan isu pemilikan tanah untuk kediaman rakyat di negeri ini jika diberikan mandat memerintah dalam pilihan raya akan datang, kata Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menjawab soalan rakyat dalam program Dailog Rakyat anjuran Jawatankuasa Menangani Isu-Isu Pembangunan Rakyat, PAS Parlimen Temerloh di Taman Sri Kemuning, dekat sini, baru-baru ini Tuan Ibrahim melahirkan rasa kesal kerana kerajaan negeri Pahang pimpinan Umno BN masih gagal menyelesaikan isu pemilikan tanah kediaman rakyat dan tanah yang dipohon walaupun telah puluhan tahun diajukan.

"Kalau kita lihat rakyat di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mereka jauh lebih maju dalam hal pemikikan tanah. Tetapi di negeri-negeri yang dikuasai Umno-BN tidak menampakkan kemajuan," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, pendekatan yang diamalkan negeri Perak semasa Pakatan Rakyat berkuasa boleh dijadikan contoh bagaimana kesungguhan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.

"Itu sebabnya rakyat kena sedar dan beri Pakatan Rakyat memerintah negeri ini. Perkara yang Umno-BN tak boleh selesaikan walaupun puluhan tahun memerintah dapat kita diselesaikan kerana kita sentiasa prihatin dengan kehidupan rakyat," katanya. - mns _

Tiada ulasan: