Isnin, 8 Jun 2009

PPP gembira, PM sokong Kayveas

MALAYSIA KINI


Para penyokong Datuk M Kayveas berada di puncak kegembiraan hari ini apabila pemimpin mereka diiktiraf sebagai presiden PPP yang sah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengiktirafan itu disuarakan oleh Najib selaku pengerusi BN semasa merasmikan mesyuarat agung ke-56 PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lapor Bernama.

Apabila Najib menyebut, "Yang Berbahagia Datuk M Kayveas, Presiden PPP", dewan persidangan yang dipenuhi lebih 4,000 anggota perwakilan dan 2,600 pemerhati, bergema dengan tepukan bergemuruh.

Mereka semua bangun serentak sebagai tanda meraikan "kemenangan" pemimpin mereka berdepan dengan dakwaan Senator Datuk T Murugiah sebagai presiden PPP dalam satu mesyuarat agung khas baru-baru ini.

Dalam ucapan dasarnya, Kayveas berikrar memberi sokongan dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada BN dan kepimpinannya yang diterajui oleh Najib serta timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kayveas berkata perspektif orang ramai bahawa PPP sebuah parti yang lemah adalah silap kerana parti berkenaan sebenarnya kuat dan menuju ke jalan yang betul.

Katanya, menurut agensi berita itu lagi, PPP menyokong penuh konsep 1Malaysia yang dianjurkan oleh Najib.

"Konsep ini tidak mungkin dapat dilaksanakan oleh satu masyarakat saja, tapi kita kena berfungsi sebagai satu keluarga. Kita perlu memiliki persamaan dengan sedapat yang mungkin.

"Perlu ada keseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar. Setiap orang perlu memiliki perasaan kasih sayang," katanya.

Sambil meminta kerajaan mengetepikan soal bangsa, Kayveas berkata:

"Mulai sekarang, PPP tidak akan lagi menggunakan perkataan 'kaum', sebaliknya akan hanya merujuk parti itu sebagai 'sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia', bukan lagi parti pelbagai kaum atau tidak berasaskan kaum."
Berita Terkini dalam SMS

Tiada ulasan: