Khamis, 25 Jun 2009

Poster Hadi dinaik di Manek Urai

Abdul Rahim Sabri
(kemaskini 1.13pm)


Poster presiden PAS akan dinaikkan dalam kempen pilihanraya DUN Manek Urai apabila penamaan calon bermula 6 Julai ini, kata pengarah pilihanraya PAS Kelantan.

"Setakat ini belum dinaikkan. Kita akan naik selepas penamaan calon termasuk poster calon," kata Abdul Fatah Harun kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung isu poster Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang masih tidak dinaikkan sempena kempen pilihanraya kerusi tersebut sehingga membuka pelbagai tanda tanya.

Setakat ini, PAS Kelantan hanya menaikkan poster Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga menteri besar, dalam strategi "melokalisasi" kempen tersebut berbanding Umno yang didakwa menggunakan taktik "menasionalkan" kempen mereka.

Ditanya sama ada terdapat arahan terbaru supaya poster tersebut dinaikkan secepat mungkin, Abdul Fatah berkata:

"Tak perlu tunggu arahan... poster tak sampai lagi."

Tambahnya, poster-poster tersebut kini sedang dicetak di Kuala Lumpur.

Abdul Fatah juga menolak dakwaan bahawa poster Abdul Hadi tidak dinaikkan kerana tokoh tersebut dikaitkan dengan kerajaan perpaduan – bertentangan dengan sikap Nik Aziz yang berkeras menolaknya.

Katanya, perkara itu "tidak berbangkit" seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

PAS akan mengumumkan calonnya esok dalam satu majlis yang akan disempurnakan oleh Nik Abdul Aziz di kawasan pilihanraya tersebut.

Ditanya sama ada Abdul Hadi akan turut serta dalam majlis berkenaan, Abdul Fatah berkata lazimnya pemimpin-pemimpin utama akan hadir.

"Biasanya semua (pimpinan PAS Pusat) hadir kerana ia melibatkan perkara besar. Kita tak masuk campur urusan jadual (kempen)," katanya.

Diminta mengulas laporan akhbar bahawa nama Abdul Hadi tidak tersenarai dalam jadual kempen, Abdul Fatah berkata ia ditentukan oleh PAS pusat dengan kerjasama Jabatan Penerangan PAS Kelantan.

Sementara itu, PAS Kelantan juga mengambil tindakan drastik dengan membataskan jurucakap rasminya kepada tiga orang.

Selain Abdul Fatah, penasihat jentera pilihanraya PAS di Manek Urai, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang juga ahli Parlimen Kota Bharu dan ketua penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah dibenarkan berhubung dengan media.

Tiada ulasan: