Rabu, 3 Jun 2009

Polis tahan orang kanan ketua Ah Long Ampang

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Orang kanan kepada ketua Ah Long kawasan Ampang yang diburu polis, ditahan di Pandan Perdana, Ampang malam semalam sebelum dia sempat melarikan diri ke Perak.

Lelaki berumur 23 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Pandan Lake Club, Pandan Perdana ketika sedang menunggu bapanya menghantar pakaian sebelum ke stesen bas Puduraya dalam usahanya untuk melarikan diri daripada buruan polis.

Suspek merupakan antara enam anggota sindiket Along Kristal 9 yang diburu polis berhubung kes mengurung dan merantai tiga peminjam di Taman Bukit Perindustrian Seri Kembangan Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan tersebut.Difahamkan suspek turut disoal siasat dan menjalani proses kawad cam.

Majistret Mahkamah Selayang Mohd Najib Ismail hari ini membenarkan suspek direman empat hari sehingga 5 Mei mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan kerana melakukan peras ugut dan mengurung secara salah.

Semalam, polis mendedahkan pemburuan enam anggota sindiket ah long Kristal 9 termasuk ketua utamanya, Franco @ Ong Leng Kok, 32.

Sindiket tersebut yang aktif sejak tiga tahun lalu menawarkan pinjaman haram dan sanggup bertindak kejam sehingga menjadikan peminjam sebagai banduan untuk diseksa di lokap buatan mereka sendiri sekiranya peminjam gagal melunaskan pinjaman.

Tiada ulasan: