Isnin, 22 Jun 2009

PKFZ: Ong bentang penerangan Menteri, nafi hutang cecah RM12b

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat pagi ini membentangkan Penerangan Menteri di Dewan Rakyat untuk memaklumkan Laporan Semakan Kedudukan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Penerangan Menteri ini bertujuan untuk memaklumkan Dewan yang mulia ini tentang pengumuman Laporan Semakan Kedudukan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang yang diusahakan oleh PricewaterhouseCoopers serta langkah-langkah susulan yang digariskan oleh Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk menjadikan projek itu berdaya maju.

"Segala ini dibuat semata-mata demi ketelusan dan kebertanggungjawapan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan atas perkara ini," kata beliau ketika membetangkan Penerangan Menteri di Dewan Rakyat ini.

Kata beliau, oleh kerana timbulnya kemungkinan litigasi maka semua transaksi dan perangkaan kewangan yang ternyata dalam laporan tersebut adalah tertakluk kepada kemungkinan penyemakan perundangan.

Jelas Ong, daripada antara isu yang dibangkitkan dalam laporan itu, terdapat tiga soal pokok iaitu aspek pembelian tanah, kedudukan perangkaan hutang dan kos pembangunan projek serta kelemahan urus tadbir LPK dalam pelaksanaan projek PKFZ. Ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab sebelum itu, Ong menjelaskan, kos pembangunan PKFZ yang turut merangkumi kos faedah bayaran tertangguh kepada kontraktornya Kuala Dimensi Sdn. Bhd. adalah sebanyak RM4.947 bilion menjelang tahun 2017.

"Dalam pada itu, LPK yang tidak mempunyai dana kewangan yang mencukupi untuk memenuhi obligasi kewangannya kepada Kuala Dimensi telah pun mendapatkan pinjaman mudah sebanyak RM4.382 bilion pada tahun 2007 untuk tempoh 20 tahun daripada kerajaan," katanya.

Kata beliau, jika mengambil kira juga pinjaman mudah kerajaan, kos PKFZ akan menjadi sebanyak RM7.453 bilion menjelang tahun 2036.

Sehubungan itu katanya, kos projek PKFZ masih belum lagi dimuktamadkan kerana akaun untuk kerja-kerja pembangunan yang telah siap masih belum lagi ditutup.

"Justeru, kos sebenar masih belum dimuktamadkan," kata Ong lagi.

Selain itu jelas beliau, pasukan petugas khas akan menyemak, antara lain aspek-aspek perundangan dan kemungkinan tindakan undang-undang dan penstrukturan semula kewangan yang mungkin akan memberi impak ke atas kos akhir PKFZ.

"Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan ingin menjelaskan bahawa angka RM12 bilion yang diwar-warkan oleh Yang Berhormat Ipoh Timur adalah angka anggaran PricewaterhouseCoopers dalam laporannya yang merangkumi kos faedah tambahan sebanyak RM5 bilion yang perlu dibayar kepada Kementerian Kewangan, sekiranya LPK menangguhkan pembayaran balik pinjaman kepada kerajaan supaya berpadanan dengan unjuran aliran wang tunai LPK menjelang tahun 2051," katanya.

Ong menjelaskan, anggaran tersebut dibuat atas andaian tiadanya sebarang intervensi kerajaan atau tindakan LPK untuk mempromosi dan menjadikannya berdaya maju.

"Ini jelas tertera dalam laporan PricewaterhouseCoopers yang diumumkan, tetapi senario semasa sekarang telah memperlihatkan adanya tindakan-tindakan tegas lagi menyeluruh yang digaris dan diambil oleh Kementerian Pengangkutan dan LPK.

"Maka hampalah individu tukang putar-belit yang menyebabkan pembohongan kononnya hutang PKFZ telah meningkat kepada RM12.5 bilion sekarang," katanya.

Menyentuh soal sama ada terdapat percanggahan kepentingan membabitkan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, Ong memberitahu:

"Saya suka maklumkan Dewan yang mulia ini bahawa Yang Berhormat dari Bintulu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi yang merupakan syarikat yang telah menjual tanah kepada LPK dan turut menjadi kontraktor utama bago pembangunan PKFZ yang dilaksanakan secara 'turnkey'.

"Menurut rekod yang ada pada saya, beliau tidak menyandang sebarang jawatan dalam jemaah LPK atau PKFZ ketika transaksi tanah atau pembangunannya yang dimaksudkan berlangsung," katanya.

Tiada ulasan: