Khamis, 11 Jun 2009

Permit teksi sewa kepada warga asing bakal ditarik

MYMETRO


SEREMBAN: Segelintir pemilik teksi dikesan menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing semata-mata untuk mengaut keuntungan mudah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengesan perbuatan itu dan tindakan bakal dikenakan terhadap mereka terbabit.

Menurutnya, kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk membatalkan permit pemilik teksi berkenaan.

“Bagaimanapun, tindakan membatalkan lesen hanya diambil jika mereka melakukan kesalahan buat kali ketiga. Bagi kesalahan pertama dan kedua, mereka dikenakan dikenakan kompaun RM300.

“Kerajaan memandang serius perbuatan itu kerana permit teksi adalah hanya untuk rakyat Malaysia supaya mereka dapat mencari rezeki dan bukan untuk warga Indonesia, Nepal dan Pakistan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Surat Tawaran Kelulusan (STK) lesen teksi dan kereta sewa individu, semalam.

Katanya, LPKP masih bertimbang rasa dengan tidak terus membatalkan lesen jika melakukan kesalahan pertama kerana memikirkan mereka masih perlu membayar pinjaman kenderaan.

“Pemilik teksi tidak sepatutnya mengorbankan lesen teksi yang mereka peroleh selepas memohon bertahun-tahun kerana mahu mendapat keuntungan mudah.

“Kewujudan pemandu teksi warga asing menyebabkan ada penumpang mengadu bahawa sebaik tiba di lapangan terbang negara ini, pemandu bercakap bahasa Indonesia menyebabkan seolah-olah seperti tiba di negara jiran itu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memahami bahawa pemilik teksi tidak sanggup memandu 24 jam menyebabkan mereka dibenarkan menyerahkan teksi kepada pemandu kedua untuk dipandu, terutama pada waktu malam, tetapi bukan kepada warga asing.

Tiada ulasan: