Jumaat, 12 Jun 2009

Percutian Homestay Berkereta Api diperkenal

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Homestay (inap desa) Kelantan mendapat rangsangan baru melalui usaha Kementerian Pelancongan memperkenalkan program Percutian Pelancongan Homestay Berkereta Api.

Langkah kementerian itu lebih disasarkan kepada usaha menarik kemasukan pelancong dari Singapura menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, program tersebut dilaksanakan memandangkan Kelantan mempunyai pelbagai daya penarik dengan keunikan budaya dan adat.

Malah, laluan perjalanan juga meredah muka bumi negeri yang berbukit-bukau dan menghijau, di samping perkampungan-perkampungan tradisional.

Sebagai langkah awal katanya, kementerian akan mengadakan rombongan ke Singapura dengan kerjasama pelbagai agensi pelancongan tanah air untuk mempromosi inap desa dan budaya Kelantan kepada republik itu.

''Kelantan ada sistem pengangkutan KTMB yang sangat berpotensi untuk kita gunakan bagi menarik kedatangan pelancong dari negara itu mengenali kebudayaan masyarakat setempat di homestay yang ada.

''Kita ada dikir barat, kertok, wau dan tarian serta pelbagai jenis makanan malah loghat pertuturan yang unik boleh dijadikan sandaran memajukan lagi industri ini,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Kelantan (MTPK), Datuk Abd. Aziz Derashid dan Pengerusi Persatuan Homestay Kelantan, Mohamad Nasir Mustafa.

Sehingga pertengahan tahun ini, Kelantan hanya mempunyai lapan buah kampung yang dijadikan sebagai perkampungan inap desa dan berjaya menarik 228 pengunjung termasuk 20 pelancong asing.

Antara inap desa yang menjadi tumpuan utama di negeri ini adalah Kampung Renok Baru dan Kampung Batu Papan di Gua Musang dan Kampung Seterpa, Peringat dekat sini.

Yen Yen berkata, kementerian akan menjalankan kursus dan program khas untuk melatih pihak pengurusan inap desa menjadi lebih cekap terutama sekali daripada aspek kebersihan dan kewangan.

''Kalau ada inap desa sekarang boleh capai pendapatan RM3,000 dalam tempoh tiga bulan maka kita akan berusaha menjana pendapatan ini supaya boleh meningkatkan kepada RM30,000,'' ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengusaha-pengusaha inap desa di negeri ini supaya turut memainkan peranan masing-masing dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik.

''Untuk mencapainya, minda kita perlu terbuka dan menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pengunjung seperti kualiti makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

''Kita tidak akan mempromosikan mana-mana inap desa yang hanya menyewakan rumah mereka kepada pengunjung dan tidak tinggal bersama kerana falsafah penubuhannya sudah tidak ada,'' ujarnya.

Yen Yen menambah, penduduk negeri ini juga perlu kreatif dalam mempersembahkan budaya tempatan kepada pelancong luar negara yang tidak pandai bertutur bahasa Melayu.

Katanya, seni dikir barat dalam dialek tempatan misalnya sangat unik namun tidak difahami. Oleh itu, beliau mencadangkan agar turut dialih bahasa supaya lebih memikat pelancong.

''Kita fahami keperluan mereka. Oleh itu, apa salahnya kalau ada beberapa lagu dikir barat dalam bahasa asal pelancong itu sendiri supaya mereka dapat menyanyi bersama,'' tambahnya.

Sementara itu, Abd. Aziz berkata, MTPK akan mengadakan rundingan dengan KTMB dalam masa terdekat untuk membincangkan peranan syarikat pengangkutan itu dalam menjayakan program terbabit.

Katanya, rundingan itu memberi fokus mengenai langkah promosi yang boleh dibuat oleh KTMB seperti mempamerkan gambar-gambar inap desa di gerabak yang digunakan dan keselesaan terhadap penumpang.

''MTPK akan memikul tanggungjawab ini sepenuhnya dan sebagai langkah segera, kita akan bertemu dengan KTMB dan menerangkan kepada mereka mengenai program ini,'' jelasnya.

Tiada ulasan: