Isnin, 22 Jun 2009

'Percubaan bunuh politik pemimpin muda Gerakan'

MALAYSIA KINI


Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan yang digantung keahliannya selama tiga tahun, kecewa dengan tindakan parti itu yang menurutnya, akan menghancurkan karier politiknya.

"Penggantungan itu akan menghalang saya daripada bertanding jawatan parti pada 2011, serta bertanding kerusi parlimen dan DUN," katanya dalam satu kenyataan di Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengesyaki ada beberapa 'orang tua' dalam parti itu yang cuba untuk membunuh karier politik pemimpin muda yang mendapat sokongan akar umbi, bagi memberi laluan kepada "putera dan puteri" mereka mengambil alih kepimpinan parti itu.

Bagaimanapun, Huan menolak sebarang kemungkinan keluar dari Gerakan untuk menyertai pembangkang.

"Gerakan adalah isteri kedua saya," katanya kepada pemberita.

Kebelakangan ini, tersebar spekulasi bahawa Huan dari Pulau Pinang, akan menyertai PKR.

Sementara itu, Huan mengecam jawatankuasa kerja pusat Gerakan yang mengumumkan penggantungan keahliannya melalui media.

"Ini berniat jahat, (dan dilakukan) untuk menghasut penyokong saya, sedangkan saya telah bersusah payah menenangkan mereka," katanya.

Tiada ulasan: