Jumaat, 12 Jun 2009

Perbicaraan Anwar mohon dokumen kes liwat pada 22 Jun

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta pihak pendakwaan menyediakan beliau dengan semua dokumen berkaitan kes liwatnya ditetapkan perbicaraan pada 22 Jun.

Peguam Anwar, S N Nair, berkata beliau diberikan notis oleh mahkamah itu mengenai perkara berkenaan yang akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, pada hari berkenaan.

Rabu lalu, Anwar memfailkan satu notis usul meminta mahkamah memaksa pendakwaan menyediakan beliau dengan dokumen itu sebelum perbicaraan mengenai kes liwatnya didengar bermula pada 1 hingga 24 Julai.

Antara dokumen yang beliau mahukan ialah rakaman asal Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian itu di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari 25 hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, kenyataan daripada saksi termasuk pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, polis dan beberapa dokumen lain.

Beliau memohon kepada mahkamah untuk melepas dan membebaskan beliau dengan segera daripada pertuduhan liwat atau menggantung prosiding mengenai kes liwatnya dengan tetap jika pendakwaan tidak mematuhi perintah mahkamah itu untuk membekalkannya dengan dokumen berkenaan.

Anwar, 61, menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. -

Tiada ulasan: