Rabu, 24 Jun 2009

Penyanyi dangdut eksport dadah

MYMETRO


KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila seorang penyanyi dangdut popular di Indonesia dikatakan antara empat individu yang ditahan di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang Hilir, di sini, Jumaat lalu.

Mereka dipercayai menjalankan aktiviti mengeksport dadah ke luar negara dengan menjadikan negara ini sebagai pusat transit.

Penyanyi itu yang mendakwa memiliki dua album ditahan bersama suami yang juga seorang guru tari dan sepasang kekasih warga India dan Pakistan ketika asyik membungkus dadah jenis heroin gred ‘A’ dipercayai untuk pasaran luar negara.

Dalam serbuan jam 10.30 malam, mereka dikatakan sedang mengisi dadah seberat 2.8 kilogram dalam ruangan khas komputer riba yang diubahsuai bagi mengelakkan aktiviti itu dikesan pihak keselamatan lapangan terbang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata ketika pemeriksaan, pihaknya menemui enam bungkusan plastik lutsinar diisi dengan serbuk berwarna perang disyaki heroin.

“Selain itu, kami menemui dua komputer riba, satu daripadanya sudah diubahsuai dipercayai untuk menyembunyikan dadah untuk diseludup tanpa dikesan pihak berkuasa.

“Nilai dadah yang dipercayai untuk eksport itu berjumlah RM200,000 berikutan grednya yang tinggi selain boleh diproses untuk menghasilkan dadah jenis heroin gred dua atau tiga yang lebih murah,” katanya.

Pihak polis turut merampas wang tunai RM10,000, pasport suspek, enam unit telefon bimbit, serta barang kemas peribadi dipercayai dibeli hasil kegiatan haram itu.

Siasatan mendapati, semua suspek mula aktif menjalankan kegiatan itu sejak enam hingga sembilan bulan lalu dan dipercayai sudah beberapa kali menyeludup dadah ke luar negara, berikutan rekod perjalanan pada pasport menunjukkan mereka aktif keluar masuk ke negara ini.

“Pemeriksaan mendapati wanita warga Indonesia itu, bagi tahun ini saja sudah 15 kali berulang alik dari negara ini ke Indonesia,” katanya.

“Semua yang ditahan berusia antara 28 hingga 40 tahun kini ditahan reman hingga Khamis depan bagi membantu siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: